Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKajian budaya membawa Dr. Jacquelina kembali kepada akar komuniti. Ilmu etnografi dan teori fungsi yang pernah diaplikasikan untuk memungut kisah-kisah lisan itu diterjemahkan menjadi senjata untuk memahami komuniti dan alam demi membangunkan ekonomi komuniti.
Bermula daripada kearifan tempatan lahirlah kejayaan dan dari sastera terbitnya kesejahteraan sosial. Kisah ini membuktikan bahawa sastera tidak hanya hidup di dalam buku tetapi mampu dihidupkan melalui tindakan seorang ahli akademik.
Penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Jacquelina Karimon membuktikan kajian beliau dalam bidang sastera lisan dan etnografi akhirnya membawa kepada inovasi dalam pertanian komuniti.
Projek penanaman cendawan volvariella yang diterajui beliau, bersama-sama pasukan penyelidik lain, iaitu Prof Madya ChM. Dr. Tan Wen Nee, Dr. Wan Nur Aqlili Wan Mohd Ruzai, Dr. Lim Chee Ann dan Cik Rafizah Md Zain telah terpilih sebagai satu daripada projek pameran utama di Festival of Ideas (FOI) 2025 di Putrajaya, di bawah Kluster Kesejahteraan Sosial, baru-baru ini.
Projek unik tersebut sangat autentik dan organik. Cendawan Volvariella, atau dikenali juga sebagai cendawan sawit, bukan ditemui kerana eksperimen makmal atau pencarian saintifik. Sebaliknya, Dr. Jacquelina telah memakan cendawan ini sejak kelapa sawit diperkenalkan di daerahnya, Nabawan.
Cendawan tersebut pada asal tumbuh secara semula jadi di kampungnya, lalu masyarakat kampung telah lama memahami kaedah mengenal pasti cendawan yang boleh dimakan melalui kearifan tempatan. Antaranya ialah warna putih yang bersih, ketiadaan bau busuk, dan kewujudan serangga kecil yang sering hinggap pada batang dan tudung cendawan.
Pengetahuan ini diwarisi secara lisan, dan menjadi sebahagian daripada sistem kehidupan komuniti, jauh sebelum wujud sebarang kajian akademik mengenainya.
Teori Fungsionalisme Bronislaw Malinowski menjadi asas penyelidikannya satu teori yang menekankan bahawa setiap unsur sastera dan budaya mempunyai fungsi untuk kelangsungan hidup dan kawalan moraliti masyarakat.
Sewaktu kajian, beliau mendapati bahawa pengetahuan tentang cendawan ini adalah “teks hidup” yang berfungsi dalam ekologi budaya. Pengumpulan data melalui cerita rakyat dan interaksi bersama komuniti membolehkan beliau memahami bahawa sastera bukan hanya cerita tetapi pengetahuan yang mempunyai fungsi membangunkan kehidupan masyarakat.

Melalui kerjasama dengan pasukan penyelidik lain, dan pembangunan komuniti, projek penanaman cendawan ini kemudian melalui proses inovasi cara pemerhatian dan kajian lebih saintifik.
Bermula daripada pengetahuan tradisi, beralih kepada eksperimen sistematik, pasukan Dr. Jacquelina berjaya menghasilkan tiga kategori tandan penanaman cendawan yang dinamakan sebagai Tandan A, Tandan B dan Tandan C.
Setiap tandan menunjukkan variasi hasil berdasarkan pemprosesan tandan daripada kilang, pengurusan kelembapan dan kaedah penjagaan yang sistematik. Beliau juga mengaplikasikan pendekatan etnografi untuk memahami komuniti agar boleh melaksanakan projek ini dengan lancar.
Dr. Jacquelina memberikan fokus kepada pemerhatian dan pengalaman secara langsung dalam sesuatu komuniti atau budaya. Tujuannya adalah untuk memahami cara hidup, nilai, kepercayaan, tindakan, bahasa dan makna yang dikongsi oleh sesebuah komuniti daripada perspektif mereka sendiri agar projek ini lebih berjaya.
Beliau banyak menghabiskan masa di rumah cendawan dalam Universiti Sains Malaysia untuk melakukan pemerhatian terhadap sifat dan cara tumbuh cendawan ini sambil melakukan pembacaan lain berkaitan kajian cendawan. Pemerhatian secara teliti seperti menggunakan pendekatan etnografi dalam kajian sastera dan budaya diaplikasikan untuk memahami cendawan ini.
Implikasi kepada cendawan yang pada asalnya kecil dan bersifat liar kini berjaya ditingkatkan kualitinya sehingga menjadi lebih besar, lebih berat dan lebih mempunyai jangka tuai yang lama berbanding cendawan asal yang tumbuh di kampung.
Saiznya yang lebih besar bukan sahaja meningkatkan nilai jualan, tetapi juga menyokongkan proses pemprosesan dalam produk hiliran seperti popia cendawan dan karipap cendawan, yang turut dipamerkan kepada umum di FOI dan menerima sambutan yang menggalakkan.

Inovasi ini membuka peluang baharu kepada komuniti melalui latihan penanaman cendawan dan bimbingan keusahawanan yang memberi ruang kepada belia, pesara dan masyarakat B40 menjana pendapatan sampingan.
Projek ini membuktikan bahawa kajian budaya bukan sekadar disiplin ilmu yang berlegar dalam ruang akademik, tetapi alat memahami manusia, budaya dan keperluan komuniti serta sumber alam.