Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Persatuan Teater Malaysia (PTM) bakal mempersembahkan sebuah produksi teater puisi bertajuk Opereta Puisi Melayu Bitara: Warisan Jiwa Melayu yang mengangkat warisan, seni, bahasa dan jati diri bangsa. Persembahan ini akan dipentaskan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 27 November 2025 pukul 8.30 malam.
Pementasan anjuran PTM dengan kerjasama DBP dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Pendidikan Islam itu turut menerima sokongan Pejabat Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta IPGM.
Dalam kenyataan tersebut, Presiden PTM dan Pengarah Teater, YBrs. Encik Sakrani Samsuddin berkata, persembahan teater puisi ini berkonsepkan karya agung Yang Berhormat (YB) Senator Prof. Emeritus Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan yang juga Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi Mara (UiTM).
“Opereta ini menampilkan satu bentuk pementasan teater puisi yang menggabungkan deklamasi, lakonan dramatik, tarian dan nyanyian dalam satu persembahan komprehensif dan bersifat intelektual,” katanya dalam suatu kenyataan media.
Mengulas lanjut, Sakrani menambah pementasan itu mengambil tema perjalanan tamadun Melayu dari akar sejarah menuju penyatuan bangsa.
“Karya ini memaparkan renungan mendalam terhadap makna jati diri, maruah, perpaduan dan kedudukan bahasa Melayu sebagai nadi tamadun. Persembahan bermula dengan persoalan asas, iaitu siapakah Melayu?.
“Penonton turut dibawa menyusuri zaman kegemilangan, kejatuhan dan kebangkitan semula bangsa melalui monolog, puisi, gerak tari serta penceritaan yang sarat dengan nilai emosi dan simbolisme,”jelasnya lagi.
Tambah beliau, pementasan tersebut bukan sekadar hiburan seni, tetapi wahana untuk menghidupkan kembali tradisi dan estetika teater Melayu dalam konteks moden.
“Teater pementasan Opereta Puisi Melayu Bitara ini bertujuan mengangkat kembali martabat bahasa dan sastera Melayu sebagai teras pembinaan tamadun yang tinggi, selaras dengan agenda kebudayaan nasional dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan,” ujarnya.
Katanya lagi, persembahan berkenaan turut menampilkan rangkaian puisi terpilih yang disusun secara dramatik dalam beberapa karya, antaranya Maaf Hamba Bertanya, Quo Vadis Bahasaku?, Tragedi Perpecahan Alam Melayu Raya, Melayu Itu Siapa, Madah Jebat Ketika Rebah di Pangku Tuah dan banyak lagi.
Selain itu, pementasan ini turut menampilkan beberapa penyair tanah air dan barisan pelakon teater seperti YBhg. Datin Seri Haryani Haron, YBhg. Datin Seri Nurmala, YBrs. Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman, Lin Haslinaz, Lim Ah Nee, YBrs. Dr. Ferri Anugerah Makmur dan Marzelan Perindu Seni.
