Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Setiap gerak silat, alunan gamelan, helaian tenun, peragaan busana dan butir dialog dalam pementasan Tralokal Teater Gamelan Tari Tenun Berurai Emas akan membawa satu peringatan mendalam bahawa warisan bangsa bukan sekadar untuk dikenang, tetapi perlu terus dihidupkan serta diberikan ruang bernafas dalam arus zaman.
Demikian penegasan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan dalam sidang media khas semalam.
Menurut beliau, teater ini bukan sahaja menampilkan keindahan seni, tetapi juga mengingatkan masyarakat bahawa sejarah bangsa perlu diperhalusi dan difahami.
“Ada babak yang menggambarkan kerakusan dan keangkuhan penjajah Inggeris, namun pahlawan Melayu tetap tampil dengan kebijaksanaan, perancangan dan keberanian,” katanya sambil menegaskan bahawa DBP memikul peranan besar sebagai institusi yang bertanggungjawab memerkasakan bahasa, budaya dan khazanah seni tempatan agar terus relevan.
DBP melalui DBP Wilayah Tengah menyediakan ruang dan sokongan penuh kepada para karyawan seni dalam usaha memperkukuh ekosistem seni persembahan negara.
Pengarah DBP Wilayah Tengah, YBrs. Puan Nurul Julia Alany Henry turut menekankan bahawa teater berasaskan warisan seperti ini berfungsi sebagai jambatan antara generasi lama dan baharu.
Antara cabaran produksi termasuklah mengumpulkan pelakon dari negeri-negeri berbeza, memastikan ketepatan fakta sejarah, serta menggabungkan disiplin seni seperti silat, gamelan, tenunan dan teater ke dalam satu naratif pementasan.
Pementasan Tari Tenun Berurai Emas diharap dapat memberi inspirasi kepada pelajar, penggiat seni dan masyarakat umum untuk menghargai seni tradisional, selain membetulkan salah faham terhadap sejarah gamelan.
Pementasan teater ini akan berlangsung pada 29 dan 30 November di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka.
Pementasan teater ini merupakan anjuran DBP melalui DBP Wilayah Tengah dengan kerjasama Persatuan Anjung Seni Nilakandi serta Persatuan Gamelan dan Kesenian Lela Indera Pahang.
Teater ini diarahkan dan ditulis oleh Syahidatul Munirah Badrul Munir, pengasas Persatuan Anjung Seni Nilakandi yang berpengalaman luas dalam dunia pementasan. Komposisi muzik gamelan pula digarap oleh Sukri Idris, tokoh utama dalam Persatuan Gamelan dan Kesenian Lela Indera Pahang. Barisan pelakon utama termasuk Dean Sitara sebagai Dato’ Bahaman, Fattah Fawzy sebagai J.P Rodger dan Fazira IRaMa sebagai Tengku Ampuan Mariam.
Teater tralokal ini menggabungkan elemen sejarah, budaya dan kearifan tempatan Pahang. Pementasan tersebut antara lain memperbetul salah tanggapan umum bahawa gamelan berasal dari Terengganu. Sebaliknya, seni itu bertapak di Pahang terlebih dahulu. Seni muzik dan tarian gamelan kemudian diperkembang sebagai Joget Pahang ketika zaman pemerintahan Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah.
Selain sejarah gamelan, pementasan ini turut mengetengahkan kisah penjajahan British, termasuk penggangguan terhadap urai-urai emas di Hulu Bera, Hulu Bentong dan beberapa kawasan lain. Kisah perjuangan tokoh besar seperti Dato’ Bahaman, Mat Kilau, Tok Gajah, Mat Lela serta pahlawan Melayu Terengganu, Tok Ku Paloh ditampilkan bagi memperlihatkan kekuatan jati diri bangsa.
Lebih menarik, lagu gamelan baharu turut digubah sebagai penghormatan kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, yang terkenal sebagai penaung dan penggerak utama seni Tenun Pahang Diraja serta muzik gamelan.
Produksi ini juga dirancang untuk dibawa ke Pahang sebagai sebahagian usaha memartabatkan warisan negeri bersempena dengan Tahun Melawat Pahang 2026, yang turut menyaksikan negeri tersebut menjadi tuan rumah Majlis Perasmian Bulan Bahasa Kebangsaan 2026.
Selain persembahan teater, penonton turut berpeluang menikmati festival budaya, persembahan gamelan khas serta forum bersama-sama tokoh budaya Pahang pada 28 November 2025 (Jumaat), pukul 10.oo pagi di Stor Teater, Wisma DBP.