Diterbitkan pada 27 November 2025, 15:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kempen Jualan Akhir Tahun Malaysia 2025 kini kembali dengan lebih 100 tawaran dan aktiviti menarik di seluruh negara melibatkan diskaun hebat sehingga 70 peratus di pusat beli-belah serta gedung runcit terpilih di samping program jualan tengah malam dan hadiah cabutan bertuah.

Menurut Tourism Malaysia, kempen berkenaan selari dengan hasrat kerajaan untuk menawarkan pengalaman hebat kepada pelancong semasa berbelanja dan berkunjung ke Malaysia.

“Berlangsung dari 15 November 2025 hingga 1 Januari 2026, pelancong antarabangsa dan domestik bukan sahaja berpeluang mendapatkan pakej penginapan istimewa, malah menikmati promosi eksklusif di taman tema, urutan spa serta makanan dan minuman,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, lebih 70 promosi percutian turut ditawarkan oleh hotel yang mengambil bahagian di seluruh negara dengan tawaran harga bilik bermula serendah RM99 selain penawaran pakej kembara warisan Malaysia.

Selain itu, katanya, pelancong yang menempah tiket Malaysia Airlines untuk penerbangan dari beberapa destinasi seperti Australia, New Zealand, Great Britain, Hong Kong, India, Jepun, Korea, Taiwan, Singapura, Thailand, Indonesia, Vietnam dan Perancis ke Malaysia, turut berpeluang menikmati diskaun sehingga 30 peratus melalui tempahan dalam talian di platform Trip.com, Expedia, Agoda dan Traveloka.

Tourism Malaysia berkata, antara sorotan utama kempen jualan nasional ini pada penghujung tahun 2025 adalah seperti AEON Mall bakal menganjurkan Black Friday Midnight Sale di lima cawangan terpilih, iaitu di AEON Mall Cheras Selatan, AEON Mall Tebrau City, AEON Mall Bukit Mertajam, AEON Mall Ipoh Station 18 dan AEON Mall Kuching Central dari 28 November 2025 hingga 30 November 2025.

“Pelbagai aktiviti akan dianjurkan seperti persembahan kebudayaan, Durian Fest, Black Sport Day, Pickleball Tournament, Black Friday Night Run dan Havoc Food Fair sekali gus memberikan nilai tambah kepada pengalaman membeli-belah dan kemeriahan ini akan diteruskan di AEON Mall Kota Bharu pada 30 Disember 2025,” tambahnya.

Selain itu, katanya, Mitsui Outlet Park KLIA Sepang juga bakal menganjurkan Black Friday Late Night Sale pada 28 dan 29 November 2025 dengan waktu operasi akan dilanjutkan hingga pukul 12.00 tengah malam.

Tambahnya, sepanjang dua hari promosi berlangsung, pengunjung berpeluang mendapatkan pelbagai tawaran menarik seperti baucar eksklusif Black Friday, promosi Happy Hour Specials dan cabutan bertuah.

Menurut Tourism Malaysia, 1 Utama Shopping Centre turut tidak ketinggalan dalam acara Black Friday Sale pada 28 November 2025 hingga 30 November 2025 dengan pemanjangan waktu operasi hingga pukul 11.00 malam pada 28 November 2025.
Ujarnya, pengunjung yang berbelanja antara pukul 9.00 malam hingga 11.00 malam berpeluang menerima cenderamata eksklusif.

“Sunway Velocity Mall dan Sunway Big Box Retail Park akan menghangatkan sambutan Tahun Baharu 2026 pada 31 Disember 2025 dengan pelbagai persembahan dan aktiviti menarik di samping melanjutkan waktu operasi hingga pukul 1.00 pagi dengan pertunjukan bunga api dan konsert mini melibatkan persembahan artis tanah air dan antarabangsa bagi meraikan detik sambutan tahun baharu dalam suasana penuh kemeriahan,” ujarnya.

Jelasnya, dengan sokongan penuh daripada Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPKM), Persatuan Peniaga Runcit Malaysia (MRA), Persatuan Rantaian Peruncitan Malaysia (MRCA), Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Taman Tema & Pusat Hiburan Keluarga Malaysia (MATFA) dan Malaysia Aviation Group (MAG), kempen ini memperkukuh lagi peranan Malaysia sebagai destinasi pelancongan unggul menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) melalui pengalaman membeli-belah dan percutian yang menakjubkan kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.

Kredit Foto: Tourism Malaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi