Diterbitkan pada 3 Disember 2025, 09:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kolaborasi antara Malaysia dengan Singapura telah menghasilkan penerbitan zine ARUS, iaitu gabungan tenaga kreatif 14 penulis belia Melayu dari kedua-dua negara.

Projek tersebut diterajui oleh tiga kolektif aktif: Kamelia Co. dan Meja Conteng dari Singapura serta Kultus Kata dari Malaysia bersama-sama ketua penerbitan Martini Ali Wafar.

Zine ini diurus selia bersama Hidayat Nordin (Singapura) dan Fazleena Hishamuddin (Malaysia) mewakili barisan penulis yang terpilih menjayakannya.

Dalam ARUS terdapat 28 karya yang dimuatkan dan zine yang diterbitkan bersaiz A5 dengan 51 halaman penuh warna.

Zine ini turut diperkaya dengan ilustrasi serta reka letak oleh artis Singapura, Hafizah Jainal, atau lebih dikenali sebagai HAFI yang menyuntik nafas pop dan kontemporari, menjadikan setiap halaman tampil hidup dan berkarakter.

ARUS mengetengahkan suara dan gaya berbeza daripada generasi muda penulis Melayu. Senarai penulis yang terlibat terdiri daripada Ahmad Ubaidillah, Aisyah Lyana, Amirul Hakim, Fadhli Fadzil, Hidayat Nordin, Lissa Chan, Mysara Aljaru dan Nur Hikmah Ali dari Singapura; serta Airul Affendi Ali, Ashikin M., Fazleena Hishamuddin, Ku Syafiq Ku Fozi, Mosyuki Borhan dan Zuhairah Zamri dari Malaysia.

Mengusung tema arus, setiap penulis menghasilkan puisi dari sudut pandang masing-masing tanpa sebarang batasan. Pembaca berpeluang menyelami rangkaian puisi yang rencam, segar, dan mencerminkan kepelbagaian latar belakang para penulis, sekali gus menghadirkan pengalaman membaca yang lebih luas dan hidup.

Sebelum itu, pelancaran ARUS telah diadakan di Permata Singapura pada 30 November yang lepas.

Dalam majlis tersebut, kehadiran ramai tokoh sastera, seni dan budaya, menandakan sokongan padu terhadap perkembangan persuratan Melayu serta usaha mengukuhkan bahasa ibunda di peringkat serantau.

Antara sasterawan dan budayawan yang hadir termasuklah Tuan Jamal Ismail, Nadiputra, Kamaria Buang, Faridah Taib, Aidli Mosbit, Asnida Daud dan ramai lagi.

Seiring pengiktirafan terhadap potensi projek ini, ARUS menerima sokongan dan dana daripada Majlis Seni Kebangsaan (NAC) Singapura.

Hal tersebut membuktikan keyakinan institusi seni terhadap keupayaan penulis muda menyumbang kepada ekosistem budaya serantau.

ARUS bukan sekadar penerbitan, tetapi jambatan sastera yang menghubungkan dua komuniti kreatif, sambil meletakkan penulis belia di barisan hadapan kerjasama dwinegara.

Selepas pelancaran di Singapura, zine ini akan menemui pembaca Malaysia pada 20 Disember di Riwayat Bookstore dengan sesi perbincangan dan persembahan puisi bersama para penulis yang terlibat. Zine ini akan diedarkan di beberapa kedai buku terpilih serta dijual secara dalam talian bagi memastikan ARUS dapat mencapai khalayak pembaca yang lebih luas, termasuklah mereka yang mengikuti perkembangan persuratan Melayu di rantau ini.

Dengan lahirnya ARUS, usaha ini diharapkan menjadi pembuka jalan kepada lebih banyak kolaborasi sastera merentas sempadan, mempertemukan bakat baharu, memperkukuh jaringan kreatif, dan terus menyuburkan ekosistem bahasa Melayu dalam acuan moden.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi