Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBintulu – Bintulu Regatta mempunyai potensi besar untuk berkembang menjadi tarikan pelancongan tersendiri di Sarawak jika diperkukuh dan dipromosikan secara strategik dan meluas.
Demikian ucapan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dato’ Shaharuddin Abu Sohot ketika merasmikan Bintulu Regatta 2025 yang berlangsung di Bintulu Waterfront Pier 99, Sarawak pada 5-7 Disember 2025.
“Bintulu Regatta ialah simbol warisan, keberanian dan identiti maritim masyarakat pelbagai kaum di Bintulu.
“Setiap perahu yang menyertai membawa sejarah dan keunikan tersendiri yang menjadikan acara ini berbeza daripada pertandingan sukan moden,” katanya.
Tambah beliau juga, dengan perancangan berstruktur dan promosi yang berkesan, regata boleh disejajarkan dengan acara sukan air utama di Malaysia.
Penganjuran Bintulu Regatta 2025 menzahirkan komitmen MOTAC untuk memperkukuh pelancongan berteraskan sukan air dan kebudayaan di Sarawak.
Acara ini menampilkan pelbagai pengisian menarik termasuklah lumba perahu kayuh sebagai tarikan utama, serta pameran dan jualan Sejati MADANI yang mengetengahkan produk pelancongan, seni dan budaya.
Selain itu, jualan kraf komuniti turut diadakan bagi memberikan peluang kepada para penggiat kraf tempatan untuk mempromosikan hasil tangan mereka secara lebih meluas. Inisiatif ini secara langsung akan menyokong pemerkasaan komuniti serta merancakkan ekonomi setempat.
Sementara itu, Pegawai Daerah Bintulu, Awang Mohammed Nizam Awang Ali Bohan dalam ucapan alu-aluannya menyatakan penghargaan mendalam atas sambutan hangat dan semangat komuniti yang mengelilingi regata tersebut.
“Bintulu Regatta bukan sekadar perlumbaan perahu, malah merupakan satu platform yang menyatukan kita sebagai satu keluarga besar Bintulu, tanpa mengira etnik atau latar belakang,” katanya.
Edisi 2025 ini menampilkan barisan aktiviti yang pelbagai, termasuklah gerai usahawan, aktiviti mendaki, pertandingan mewarna kanak-kanak, perhimpunan basikal, larian sejauh 20 kilometer, persembahan hiburan malam dan perarakan perahu bercahaya yang sangat dinanti-nantikan.