Diterbitkan pada 5 Disember 2025, 16:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur –  Muzikal Paduka Cik Siti (MPCS) bukan hanya tentang perjuangan wanita memimpin negeri, tetapi pengorbanan menundukkan kehendak hati dan perasaan.

Hal tersebut dijelaskan oleh Che Kem yangbertindak sebagai pengarah dalam sidang media Muzikal Paduka Cik Siti yang turut dihadiri Roziah Adama dan Khairunazwan Rodzy sebagai penulis, bersama-sama Dr. Hairul Anuar Harun yang mencipta lirik lagu-lagu.

Dalam sidang media tersebut, Che Kem menjelaskan maksud figura luar biasa tersebut, iaitu memaparkan kelainan daripada apa yang telah biasa diketahui umum mengenai Paduka Cik Siti, atau Cik Siti Wan Kembang. Keluarbiasaan tersebut akan diketahui dan dirasai lebih lanjut dengan menontonnya sendiri.

Terdahulu, MPCS mengisahkan Cik Siti Wan Kembang yang merupakan satu-satunya waris takhta Tanah Serendah Sekebun Bunga. Baginda terpaksa menggantikan pemerintahan ayahanda saudaranya, almarhum Raja Husein yang mangkat, dan demi menyempurnakan pesanan almarhum ayahandanya, Raja Ahmad.

Baginda telah menolak segala pinangan raja yang ingin menyuntingnya, baginda nekad menyahut amanah sebagai paduka raja demi negeri yang tercinta. Walau bagaimanapun, tugas sebagai Raja Wanita tidaklah semudah yang disangka. Antaranya kewibawaan dipersoalkan oleh pembesar sendiri, menghadapi ancaman Siam, dan hati yang diragut kesepian kerana cinta yang dipendamkan.

Begitu pun, demi negeri, Paduka Cik Siti menangani segala halangan dan dugaan dengan bijaksana.

Teater tersebut dianjurkan oleh ASWARA dengan kerjasama Persatuan Alumni ASWARA, bakal dipentaskan pada 19 hingga 21 Disember 2025 di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Putrajaya.

Turut hadir dalam sidang media ialah  YBrs. Encik Iefiz Alauddin, Pengerusi Persatuan Alumni ASWARA; YBhg. Prof. Dr. Tan Awang Besar, Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), serta YBrs. Encik Mohd. Amran Mohd. Haris, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

Antara pelakon yang hadir termasuklah Asmidar yang memegang watak Paduka Cik Siti, Taqim Zaki, dan Shahrul Mizad.

Selain Shahrul yang boleh dianggap mampan, teater muzikal ini juga bakal dijayakan oleh rakan lamanya, Dr. Norzizi Zulkifli, serta bakat-bakat semasa seperti Nesa Idrus, Serra Kamal, dan Zizi Hazirah.

Dengan barisan pelakon handal dan berpengalaman, rekaan pentas berskala besar, serta sentuhan pengarahan yang bertenaga, produksi yang terlibat adalah gabungan serta kolaborasi yang menyatukan alumni, pensyarah dan pelajar ASWARA. Ia menjanjikan persembahan berskala besar dan berimpak tinggi.

Tiket-tiket sedang diual di https://www.cloudjoi.com/shows/4822-teater-muzikal-padukacik-siti pada harga RM40.00 sehingga RM150.00.

Maklumat lanjut mengenai pementasan teater muzikal ini boleh diikuti rapat di laman sosial berikut untuk kemas kini terkini: Instagram: @aswara.official/@Persatuan_alumni_aswara, TikTok: aswara.official, persatuanalumniaswara, dan Facebook: https://www.facebook.com/@aswara.edu.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi