Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJohor Bahru – Festival Budaya Malaysia 2025 @ Johor bakal menghidupkan semula kemeriahan budaya negara di Dataran Bandaraya Johor Bahru dengan menyajikan keunikan pelbagai budaya masyarakat Malaysia termasuklah dari Sabah dan Sarawak.
Festival anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor ini akan diadakan selama empat hari berturut-turut bermula dari 11 hingga 14 Disember ini bermula dari pukul 9.00 pagi hingga 12.00 tengah malam.
Dengan tema “Wow Malaysia! Meh Lah Johor!”, festival ini dijangka menarik perhatian banyak pengunjung berikutan kejayaan edisi September lalu yang mencatatkan kehadiran hampir 300 000 orang pelawat.

Pengunjung berpeluang menikmati pelbagai aktiviti menarik yang menampilkan khazanah budaya Malaysia seperti pameran tentang seni dan warisan, serta tarian tradisi yang memukau dan demonstrasi makanan tradisional, khususnya dari negeri Sabah dan Sarawak.
Festival ini turut menawarkan jualan produk buatan tempatan untuk dibawa pulang sebagai cenderahati, di samping dapat turut serta dalam beberapa aktiviti yang disediakan.

Pihak penganjur menegaskan bahawa Festival Budaya Malaysia 2025 @ Johor bukan sekadar mengenai negeri Johor, tetapi membawa seluruh keindahan Malaysia kepada rakyat selatan tanah air.
Dengan penyertaan pelbagai agensi kerajaan dan badan pelancongan tempatan termasuk Tourism Malaysia, Visit Johor dan Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara (JKKN), festival ini dijangka menjadi perayaan besar-besaran yang menampilkan keunikan seni, budaya dan warisan Malaysia yang tidak boleh dilepaskan.