Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kejayaan Arkib Negara Malaysia (ANM) mendigitalkan lebih 11 juta imej arkib hingga November tahun ini membuktikan komitmen berterusan ANM memelihara warisan negara untuk tatapan generasi akan datang.
Ketua Pengarah ANM, YBrs. Tuan Haji Zaidin Mohd Noor menjelaskan bahawa projek pendigitalan yang ditubuhkan pada tahun 1997 ini melibatkan pelbagai bahan arkib seperti fail, bahan audiovisual dan objek bernilai kekal bagi tujuan pemeliharaan, rujukan serta kelestarian warisan negara.
“Bagi bahan audiovisual, ANM memiliki koleksi yang luas merangkumi rakaman peristiwa, sejarah lisan, pengisahan sejarah, wawancara, konvensyen, bengkel dan seminar dalam pelbagai format seperti gambar foto, kaset, VHS, piring hitam, CD, DVD dan betacam,” katanya ketika ditemu bual oleh pengacara, Ally Iskandar dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam tadi.
Jelas beliau, usaha pendigitalan oleh Kementerian Perpaduan Negara menerusi ANM ini telah memudahkan rakyat mengakses dokumen dan bahan sejarah yang menggambarkan perjalanan serta kepelbagaian masyarakat Malaysia.
“Bahan berkenaan telah dipamerkan melalui pelbagai medium seperti portal Online Finding Aid, Pameran Maya, Galeri Maya Negarawan serta segmen “Hari Ini Dalam Sejarah”,” tambahnya.
Selain itu, katanya, ANM turut melaksanakan pelbagai program pengembangan seperti pameran, forum sejarah dan program pendidikan bersama sekolah serta institusi pengajian tinggi bagi menyemai semangat patriotisme dan persefahaman dalam kalangan masyarakat.
Tuan Haji Zaidin Mohd Noor turut menekankan kepentingan 11 memorial tokoh negarawan yang diwujudkan oleh ANM bagi memperkenalkan koleksi peribadi tokoh negara kepada orang ramai.
Antara memorial tersebut termasuklah Memorial Tunku Abdul Rahman Putra, Memorial Tun Abdul Razak, Memorial Tun Hussein Onn, Memorial Negarawan, Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Rumah Merdeka, Memorial Tun Abdul Ghafar Baba, Galeria Sri Perdana, Rumah Kelahiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, Pustaka Peringatan P. Ramlee dan Rumah Kelahiran P. Ramlee.
Menurutnya lagi, program Arkib@Sekolah yang dilancarkan pada 5 Mei lalu di Sekolah Menengah St. Mary, Sandakan akan diteruskan dan diperluaskan pada tahun hadapan.
Jelasnya,
Program yang telah dilaksanakan di beberapa buah sekolah termasuk di Kedah dan Kelantan itu bertujuan mendekatkan bahan arkib kepada warga sekolah, khususnya pelajar bagi memupuk kesedaran sejarah, jati diri serta semangat patriotisme.
Sepanjang pelaksanaannya, pelbagai aktiviti sisipan menarik telah dijalankan seperti pameran Malaysia Tanah Airku, demonstrasi pemeliharaan bahan arkib, kuiz sejarah, teka silang kata serta aktiviti mengenali tokoh kemerdekaan, aktiviti berkumpulan Eksplorasi Arkib@Sekolah dan Eksplorasi Negarawan.

Mengulas lanjut, program Arkib Komuniti yang dilancarkan di Klang pada 17 Mei lalu turut akan diperluas kepada lebih banyak komuniti dan daerah di seluruh negara pada tahun hadapan.
“Usaha ini bertujuan menggalakkan pelibatan aktif masyarakat dalam pengesanan, pengumpulan, pendokumentasian dan pemeliharaan warisan komuniti, sekali gus menyemarakkan semangat patriotisme serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan etnik,” katanya.
Beliau menambah bahawa program berkenaan bakal dilaksanakan menerusi pelbagai aktiviti dua hala bersama-sama masyarakat berbilang kaum dan agama, selaras dengan tema “Perpaduan dalam Kepelbagaian”.
“Usaha ini bukan sahaja memelihara khazanah sejarah komuniti setempat, malah berpotensi dibangunkan sebagai produk pelancongan pendidikan,” jelasnya lagi.
Berdasarkan rekod, ANM ditubuhkan pada 1 Disember 1957 sebagai Pejabat Rekod Awam (PRA) sebelum dikenali secara rasmi sebagai Arkib Negara Malaysia pada tahun 1963.