Diterbitkan pada 21 Disember 2025, 10:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Arkib Negara Malaysia (ANM) menggalakkan masyarakat, individu, keluarga, tokoh masyarakat serta komuniti setempat supaya memelihara koleksi bahan sejarah persendirian sebagai khazanah warisan negara untuk generasi akan datang.

Menurut Ketua Pengarah ANM, YBrs. Tuan Haji Zaidin Mohd Noor menjelaskan bahawa masih banyak bahan sejarah penting seperti surat-menyurat lama, dokumen, diari, manuskrip, bahan personalia, peta, pelan, laporan, gambar, rakaman audio visual, salinan digital serta objek atau artifak disimpan di rumah atau dalam komuniti, namun berdepan dengan risiko rosak, musnah atau hilang sekiranya tidak diuruskan secara sistematik.

Beliau berkata bahawa dokumentasi koleksi bahan sejarah persendirian amat penting kerana terdapat pelbagai peristiwa dan pengalaman dalam masyarakat yang tidak dapat direkodkan sekiranya bahan berkenaan tidak dipelihara dengan kaedah yang betul.

“Sejarah bukan hanya berkisar kepada institusi atau tokoh besar, sebaliknya turut terbina daripada kisah keluarga, individu, masyarakat, kampung dan komuniti setempat.

“Koleksi bahan sejarah persendirian ini berpotensi menjadi sumber sahih yang melengkapkan naratif pensejarahan tempatan dan negara, selain membantu ke arah merealisasikan matlamat pembinaan negara bangsa,” katanya lagi.

Tambah YBrs. Tuan Haji Zaidin Mohd Noor, ANM bersedia memberikan bimbingan serta khidmat kepakaran kepada masyarakat bagi memastikan koleksi bahan sejarah persendirian dapat disimpan, dipelihara dan didokumentasikan mengikut standard yang ditetapkan oleh ANM.

Jelasnya lagi, masyarakat juga digalakkan merujuk Kit Arkib Komuniti yang telah dilancarkan oleh Menteri Perpaduan Negara, YB Dato’ Seri Aaron Ago Dagang di Galeri Warisan Majlis Bandaraya Diraja Klang yang diadakan pada 17 Mei lalu sebagai panduan asas memahami kerja-kerja kearkiban pada peringkat komuniti.

Beliau turut mengalu-alukan orang ramai untuk menyerahkan bahan sejarah persendirian secara sukarela kepada ANM bagi tujuan penyimpanan dan pemeliharaan secara kekal.

“Serahan boleh dibuat melalui kaedah sumbangan, derma, wakaf, hadiah, penyalinan secara digital serta dokumentasi lapangan termasuk sejarah lisan, tertakluk kepada persetujuan pemilik bahan,” katanya lagi.

Ketua Pengarah ANM, YBrs. Tuan Haji Zaidin Mohd Noor.

Sehubungan dengan itu, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Seksyen Perolehan Arkib Persendirian, ANM di talian 03-62090600 atau e-mel [email protected].

Kredit Foto: Arkib Negara Malaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi