Diterbitkan pada 22 Disember 2025, 10:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bangkok – Negeri Perlis perlu memberikan tumpuan untuk memanfaatkan lokasi strategiknya bagi memperkukuh pelbagai perniagaan baharu menerusi perdagangan dua hala Malaysia–Thailand yang mencecah lebih USD24 bilion setahun.

Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM), Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa hubungan perdagangan antara kedua-dua negara jiran itu mengimbangi dari segi import dan eksport serta saling melengkapi, sekali gus membuka ruang kerjasama yang luas dalam pelbagai sektor.

“Peluang kerjasama dua hala ini memberikan signifikan besar memandangkan Thailand merupakan negara jiran terdekat dengan Malaysia, selain disokong oleh jaringan perhubungan darat, laut dan udara yang baik serta meluas,” titah baginda.

Demikian titah DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat melancarkan Promosi Masakan Perlis yang berlangsung selama tiga hari di Restoran Phrigkiao Siam Square Soi 6, Bangkok.

Turut berangkat bersama-sama baginda ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM,Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan puterinya, DYAM Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Keberangkatan DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Pengarah restoran makanan Thai Halal, Muhammad Shahrizal, anak jati Malaysia serta  rakan kongsinya, Sarith dari Thailand.

Promosi Masakan Perlis itu dianjurkan oleh pihak pengurusan restoran yang telah beroperasi lebih dua tahun bermula waktu operasi dari jam 11 pagi hingga 11 malam.

Program tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) sebagai usaha memperkenalkan negeri Perlis sempena kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024–2026 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke Thailand, Tuan Yang Terutama (TYT) Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah menyatakan bahawa antara bidang kerjasama yang wajar diterokai iaitu, melibatkan sektor ekonomi, industri tempatan, pendidikan, pelancongan, teknologi pertanian serta pemasaran.

Dalam bidang pendidikan, beliau menjadikan contoh Bangkok yang mempunyai pelbagai institusi pengajian tinggi terkemuka seperti Universiti Chulalongkorn yang terkenal dalam penyelidikan, alam sekitar dan industri, Universiti Mahidol  tersohor dalam bidang perubatan serta Universiti Thammasat terkenal dalam jurusan ekonomi dan sains sosial.

Dalam sektor pertanian pula, jelas beliau, kerjasama boleh dipertingkatkan merangkumi aspek penyelidikan, pengurusan perkebunan secara kontrak, pemprosesan hasil serta pemasaran produk pertanian.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi