Diterbitkan pada 30 Disember 2025, 10:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Balai Seni Negara meneruskan komitmen untuk memperkasakan ekosistem seni dan industri kreatif tempatan menerusi penganjuran Program Young Art Entrepreneurs (YAE!) yang kini memasuki Kohort ke-11.

Menurut Balai Seni Negara, program YAE! dirangka bagi melahirkan usahawan muda seni yang berpengetahuan, berkemahiran dan berdaya saing, dengan memberikan fokus terhadap keupayaan menjana pendapatan secara mampan melalui karya, produk dan perkhidmatan kreatif.

“Inisiatif keusahawanan seni yang komprehensif ini dilaksanakan melalui kerjasama strategik Malaysia Design and Development Centre (DDEC) dan menampilkan penyertaan sebanyak 20 orang peserta daripada pelbagai latar belakang yang mengikuti sesi pembelajaran keusahawanan secara intensif,” katanya dalam satu kenyataan.

Program ini berlangsung selama empat bulan bermula pada September lalu yang merangkumi modul pembelajaran intensif, pembangunan produk kreatif serta pendedahan terhadap pasaran sebenar.

Program ini seterusnya diperkukuh dengan sesi mentorship selama tiga bulan bertujuan membimbing peserta untuk memperhalus strategi perniagaan, penjenamaan dan pemasaran.

Tambahnya, kohort pada kali ini turut menggabungkan penyertaan peserta baharu serta alumni YAE! bagi mewujudkan perkongsian perspektif yang lebih inklusif dalam pembangunan produk dan keusahawanan seni.

“Bagi memeriahkan penganjuran Program YAE! pada tahun ini, Balai Seni Negara turut menganjurkan Kontena Seni, Warna dan Warisan di Art Depot, Balai Seni Negara yang berlangsung dari 20 Disember 2025 hingga 1 Februari 2026 bermula pukul 9.00 pagi hingga 6.00 petang,” katanya.

Sepanjang tempoh penganjuran, pelbagai bengkel seni dan aktiviti kreatif diadakan bagi memberikan pendedahan, pengalaman pembelajaran serta pelibatan langsung kepada pengunjung.

Penganjuran ini turut diserikan dengan YAE! Open Day, pada 20 dan 21 Disember 2025 yang berfungsi sebagai platform utama bagi peserta mempamerkan dan memasarkan hasil seni serta produk keusahawanan mereka kepada umum.

Selain itu, katanya, program ini turut menjadi wadah interaksi secara langsung antara peserta dengan orang ramai, pembeli, pengumpul seni dan pemain industri kreatif, sekali gus memperluas jaringan dan peluang pasaran mereka.

Penganjuran YAE! diharap dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat usahawan muda seni, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan industri seni dan kreatif negara secara berterusan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi