Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangFilem animasi tempatan yang pertama adalah Silat Lagenda (1998), arahan Hassan Mutalib. Kemudian, hujung tahun 2025, Papa Zola The Movie (2025) laris dan terus mendaki carta pecah panggung.
Sepuluh buah filem animasi terbaik Malaysia setakat ini mengikut carta Pangkalan Data Filem Internet (IMDB) adalah Ejen Ali The Movie Misi: Neo pada tahun 2019 yang memperoleh penilaian 8/10, Mechamato Movie (2022 – 7.8/10), Didi & Friends The Movie (2023 – 7.7/10), Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal (2019 – 7.3/10), BoBoiBoy Movie 2 (2019 – 7.2/10), Bola Kampung: The Movie (2013 – 7.1/10), Upin Ipin Geng Pengembaraan Bermula (2009 – 6.7/10), BoBoiBoy: The Movie (2016 – 6.6/10), SeeFood (2011 – 4.3/10), dan Wheely: Fast and Hilarious (2018 – 4/10).
Dari segi kutipan, Ejen Ali The Movie 2 berjaya mengutip RM55.1 juta, sekali gus memegang rekod filem animasi dengan kutipan tertinggi setakat ini.
Tempat kedua, BoBoiBoy Movie 2 mendapat RM30 juta, diikuti Ejen Ali The Movie Misi: Neo meraih RM30.05 juta, Mechamato Movie memperoleh RM35.88 juta, dan Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal mengumpul RM26.2 juta.
Persoalannya, adakah selepas ini Papa Zola The Movie (PZTM) yang memulakan tayangan umum pada 11 Disember 2025, akan turut memasuki senarai filem animasi tempatan terbaik dan filem animasi tempatan terlaris?
Tidak mustahil terbaik kerana bukan sahaja menampilkan pesanan berguna kepada penonton sambil bergelak ketawa, malah cemerlang dalam pelbagai aspek persembahan visual.
Dalam hal paling laris, PZTM telah dapat mencapainya kerana selepas mengutip RM10 juta dalam tempoh empat hari tayangan di pawagam, terus mengejutkan industri kerana meraih RM50 juta sehingga kini.

Ini kenyataan yang hebat dan di luar dugaan kerana, pertama menewaskan BoBoiBoy Movie 2 (RM21 juta) dan Mechamato Movie (RM18.3 juta) selepas tempoh tersebut. Alasan kedua, watak Papa Zola hanya watak sampingan dalam filem BoiBoiBoy: The Movie dan BoiBoiBoy Movie 2!
Ketiga, yang lebih membanggakan, PZTM menduduki tangga pertama carta Top 10 pawagam tempatan, mengatasi filem antarabangsa seperti Avatar: Fire And Ash, Zootopia 2, dan Five Nights At Freddy’s 2.
Ketimbang Mechamato, Upin dan Ipin, Ejen Ali dan BoiBoiBoy yang memang watak utama dalam filem masing-masing, Papa Zola adalah watak terbitan turunan (spin-off) daripada dua buah filem BoiBoiBoy tersebut.
Buat pertama kalinya, kisah asal usul Papa Zola yang diingati dan diminati ramai dengan kata-kata “Syabas anak muda!” dan “Kebenaran” ini yang belum pernah didedahkan, dipaparkan di layar perak menerusi penceritaan baharu penuh aksi lasak dan kejutan.
Dengan penerbitan PZTM, Papa Zola ditampilkan sebagai watak utama dalam filem pertamanya sendiri. Humor ikoniknya menjadi tunjang utama naskhah PZTM, menjanjikan hiburan untuk seisi keluarga. Jalan ceritanya turut direka agar dapat dinikmati tanpa memerlukan penonton mengikuti siri BoBoiBoy sebelum ini.
Asal usul Papa Zola – ditampilkan sosoknya yang kurus tampan semasa muda, memang tidak perlu pun penontonnya menonton BoiBoiBoy terlebih dahulu. Kali ini, kisah Papa Zola sendiri walaupun dalam filem ini dia sesekali menyebut “Budak topi oren” yang mengundang tawa penonton (penonton sudah tahu Papa Zola merujuk kepada siapa dek popularnya juga BoiBoiBoy).
Ekoran kejayaan PZTM yang boleh dianggap luar biasa ini, apakah akan mendorong pula pembikin filem animasi lain menampilkan watak sampingan sebagaimana Papa Zola seperti Kak Ros (suara Balqis Fadhullah Lim) ataupun Mail (Ridzqi Faaeq) daripada Upin & Ipin, serta Alicia Kheng (Noorhayati Maslini Omar) atau Jeneral Rama (Azman Zulkiply – Ejen Ali)? Tidak mustahil.
Berlatarkan Kuala Lumpur, PZTM membawa dimensi baharu dalam dunia Papa Zola. Hasil sentuhan kreatif Monsta menampilkan kematangan animasi tempatan melalui visual yang memukau, aksi lasak bertenaga serta reka bentuk dunia yang lebih epik, dan berskala besar.
Menurut Nizam Abdul Razak, pengarah dan penulis skrip PZTM, merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA, ini merupakan kali pertama pihaknya menampikan watak dewasa sebagai watak utama (ini juga penulis fikir sebab lain PZTM mendapat sambutan hangat).
Jalan cerita filem ini bertemakan kehidupan harian dan disulami aksi lasak mendebarkan, drama serta emosi. Sesuai ditonton oleh semua generasi, dan peringkat umur,” ujarnya yang meminjamkan suara untuk Papa Zola.
YM Raja Jastina Raja Arshad, Penerbit Eksekutif PZTM merangkap Ketua Astro Shaw pula mengatakan selepas kerjasama erat menerusi BoBoiBoy Movie 2, dan Mechamato Movie, telah membuka ruang untuk pihaknya kembali berganding bahu dengan MONSTA dalam meneroka animasi baharu seperti PZTM.
“Astro Shaw komited memainkan peranan aktif dalam memperkukuhkan ekosistem animasi negara yang kini menunjukkan evolusi ketara,” tambah beliau.
PZTM, kata Raja Jastina lagi, bukan sekadar naskhah animasi untuk segmen tertentu, tetapi mempunyai penceritaan dan kualiti produksi yang boleh dinikmati semua peringkat umur.
“Bagi memastikan naskhah ini dapat menarik pelbagai khalayak, pelbagai usaha dan aktiviti dirangka, seperti penganjuran larian “Kebena-RUN 2025”. Kami mahu “fenomena kebenaran” dirasai semua kerana setiap daripada kita mempunyai versi Papa Zola tersendiri. Kami berharap filem ini mampu mencipta satu lagi kejayaan baharu untuk filem tempatan tahun ini,” ujar beliau lagi.
Mengikut sejarah, Papa Zola seorang bapa yang rajin dan melakukan segala yang termampu untuk menyara keluarganya. Disebabkan mahu memberikan mereka percutian yang sempurna, dia bertekad menyimpan wang yang cukup untuk perjalanan keluarga.
Papa Zola tidak menduga dia bertemu semula dengan seorang rakan lama, YonB, yang pernah berkhidmat dengannya dalam sebuah organisasi rahsia bernama P.A.P.A. (Agensi Pencegah dan Pelindung).
Walau bagaimanapun, apabila Pipi Zola tiba-tiba diculik oleh makhluk asing, Papa Zola dan Mama Zila mesti bertindak untuk menyelamatkan anak perempuan kecil mereka itu, dan melindungi dunia daripada ancaman makhluk asing.
Suara untuk Pipi Zola dipinjamkan oleh Ieesya Isandra. Mama Zila pula oleh Ezdiani Ahmad Fawzi, sementara Kachax (Yusuf Bahrin), YonB (Anas Abdul Aziz), BoiBoiBoy/Oboi (Nur Fathiah Diaz), dan Gopal/Opal (Dzubir Mohammed Zakaria).
Kachax juga adalah rakan sekerja Papa Zola di P.A.P.A. semasa muda yang turut menaruh hati pada Mama Zila. Dia juga bertemu semula dengan Papa Zola, dan membantunya mengalahkan YonB, sambil melupakan kisah lama.
Kemunculan YonB dan siapa dia sebenarnya serta kolaborasi Papa Zola-Kachax merupakan pemutarbalikan jalan cerita (plot twist) yang menarik.
Selepas tayangan di Malaysia, Brunei dan Singapura, filem animasi hebat ini akan melangkah ke pawagam antarabangsa lebih jauh bermula Januari 2026 di Indonesia.
PZTM juga akan ditayangkan di India, Vietnam dan pasaran Timur Tengah yang merangkumi Arab Saudi, Emeriah Arab Bersatu, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar serta Turkiye pada April 2026 – sekali gus mengukuhkan potensi naskhah ini sebagai filem animasi Malaysia yang mampu bersaing di persada global.
Khabarnya, tahun 2026 bakal menyaksikan filem BoBoiBoy Movie 3: Gur’latan, dan Mechamato Movie 2, oleh Monsta Studios, diikuti Gelecek (Wau Animation), dan siri animasi Neon Luna.
________________
Raja Yusoff Ariffin atau nama sebenarnya Raja Yusoff Raja Ariffin, adalah penulis bebas sepenuh masa sejak tahun 2002. Mula menulis pada tahun 1982 merangkumi genre puisi (sajak dan pantun), dan cerpen, serta rencana, ulasan, kritikan, dan berita yang tersiar dalam hampir semua akhbar, dan majalah berbahasa Melayu tanah air.