Diterbitkan pada 4 Januari 2026, 09:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bukit Kepong—Buku mewah berjudul Bukit Kepong: Warisan Ulung yang merakam sejarah serta kehidupan komuniti Bukit Kepong berjaya diterbitkan hasil kerja lapangan pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Pagoh dan pelibatan masyarakat setempat selama beberapa bulan.

Majlis penyerahan buku ini telah disempurnakan oleh Penghulu Bukit Kepong, iaitu Tuan Hamzah Abu Bakar. Beliau berkata bahawa projek berkenaan dengan memberikan nilai pembelajaran serta mencerminkan komitmen dan tanggungjawab dalam usaha mendekati masyarakat pelbagai latar belakang.

Selama ini orang hanya mengenali Bukit Kepong kerana peristiwa serangan ke atas Balai Polis, tetapi dengan buku mewah ini, hal ini membuka minda orang ramai dengan memperkenalkan banyak lagi nilai istimewa, peristiwa lain dan sejarah yang ada di Bukit Kepong.

Di samping itu, beliau juga menekankan tentang kepentingan hubungan antara komuniti dengan mahasiswa setempat. Beliau berkata kejayaan penerbitan itu turut didorong oleh semangat kerjasama erat antara pihak kepimpinan tempatan dengan pelajar UIAM Pagoh, serta semangat kebersamaan yang kukuh.

Penghulu Bukit Kepong, iaitu Tuan Hamzah Abu Bakar sedang berucap ketika majlis penyerahan buku mewah Bukit Kepong: Warisan Ulung.

Sebelum pelancaran rasmi, bahan terpilih daripada buku mewah tersebut telah dibentangkan kepada ketua-ketua kampung dan penghulu dalam satu sesi libat urus.

Buku mewah itu memaparkan naratif ringkas dan visual berkaitan tapak bersejarah di Bukit Kepong, termasuk legasi peristiwa serangan pada tahun 1950, selain mengetengahkan inisiatif komuniti seperti perusahaan berasaskan pertanian, penternakan, perusahaan inap desa, perniagaan kecil, kraf tangan tradisional dan dialek tempatan.

Penerbitan buku mewah Bukit Kepong: Warisan Ulung menggambarkan Bukit Kepong sebagai sebuah komuniti hidup yang terus berkembang, dan bukan sekadar sebuah lokasi bersejarah. Buku berkenaan menjadi dokumentasi usaha bersama dalam memelihara sejarah serta mengiktiraf peranan komuniti yang terus membentuk identiti Bukit Kepong, di luar naratif tragedi 70 tahun yang lampau.

Penghulu Bukit Kepong, iaitu Tuan Hamzah Abu Bakar dan pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Pagoh dan masyarakat setempat bergambar kenang-kenangan.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi