Diterbitkan pada 5 Januari 2026, 12:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala lumpur – Projek Inovasi Pencahayaan Bandar “I LITE U” dilancarkan secara rasmi di Pavilion Kuala Lumpur menandakan satu lagi usaha kerajaan memperindah ibu negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata beliau terharu melihat sambutan luar biasa daripada rakyat Malaysia dan pelancong asing terhadap projek ini.

“Saya terharu melihat sambutan luar biasa oleh rakyat Malaysia dan pelancong asing terhadap peluncuran I LITE YOU dan perarakan yang dipersembahkan, membuktikan bahawa usaha memperindah Kuala Lumpur ini berupaya memperkukuh daya tarikan kita di mata dunia,” katanya.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim melancarkan program I Lite u. Turut kelihatan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing (kiri) ;Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Jabatan Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; dan selebriti antarabangsa kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh.

Projek perintis di Bukit Bintang ini bukan sekadar memperindah landskap bandar melalui pencahayaan ikonik, malah turut meningkatkan keselamatan awam serta keselesaan penjalan kaki di kawasan tersebut.

Hadir sama pada majlis pelancaran itu ialah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Jabatan Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.

Turut hadir juga majlis pelancaran itu, YB Tuan Chiew Choon Man, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dan YBhg. Dato’ Shaharuddin bin Abu Sohot, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Inisiatif ini dijangka merancakkan ekonomi dan daya tarikan pelancongan malam di ibu negara, sekali gus menyokong matlamat “SDG 11: Sustainable Cities and Communities” melalui kerjasama erat antara sektor awam dan swasta.

Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran pelakon terkenal dunia, Tan Sri Michelle Yeoh, bintang Asia pertama menerima Anugerah Oscar.

Perdana Menteri berkata perkongsian Tan Sri Michelle tentang disiplin, ketekunan dan keberanian mengejar cita-cita harus menjadi inspirasi kepada generasi muda.

“Sambutan malam tadi membuktikan bahawa kekuatan kreativiti, bakat dan disiplin anak bangsa mampu mengangkat Malaysia sebagai negara yang hebat, diyakini dan disegani di mata dunia,” ujarnya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi