Diterbitkan pada 9 Januari 2026, 12:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Minggu Kebudayaan Interfakulti (MKI) yang menghimpunkan pelbagai fakulti untuk mempamerkan kepelbagaian budaya, seni dan keunikan tradisi mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berlangsung dengan meriah di Dewan Tun Syed Nasir, Kolej Tun Syed Nasir, UKM.

Program anjuran Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains Kesihatan (FSK) UKM dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Fakulti Farmasi (PMFFar) ini dilaksanakan dengan pendekatan hibrid yang menggabungkan aktiviti atas talian dan fizikal bagi meningkatkan pelibatan serta aksesibiliti pelajar.

Bertemakan “Seindah Warisan, Sekukuh Perpaduan”, program MKI bertujuan untuk memupuk kefahaman, penghargaan terhadap kepelbagaian adat, budaya dan seni, serta mengukuhkan perpaduan dalam kalangan pelajar.

Selain itu, program ini turut berperanan sebagai platform untuk meningkatkan keyakinan diri, kreativiti, kemahiran insaniah dan menyemai semangat persaingan yang sihat dalam kalangan pelajar.

Keindahan tarian tradisional yang dipersembahkan oleh pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Program ini telah diterajui oleh Pengarah Program, Cik Hannan Safiyah Hassan Termizi yang turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kejayaan penganjuran program hasil kerjasama erat dan komitmen tinggi barisan jawatankuasa pelaksana, serta sokongan padu daripada pihak fakulti dan penasihat program, iaitu Profesor Madya Dr. Ahmad Nazlim Yusoff dan Dr. Shirley Tang Gee Hoon.

Majlis penutup pada petang semalam telah disempurnakan oleh Profesor Madya Dr. Mohd Sham Mohd Salleh, Penolong Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FSK.

Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa penganjuran program ini selaras dengan misi UKM untuk memartabatkan bahasa Melayu dan menyejagatkan ilmu beracuan budaya kebangsaan, di samping memupuk perpaduan, kreativiti dan penghargaan terhadap warisan budaya negara dalam kalangan pelajar.

Reruai kebudayaan dengan jualan kuih tradisional yang disediakan oleh pelajar.

Sepanjang program berlangsung, pelbagai pertandingan dan sesi interaktif telah dianjurkan bagi menggalakkan penglibatan aktif pelajar, memupuk perpaduan, serta menghargai kepelbagaian budaya dan seni di Malaysia.

Antara aktiviti utama termasuklah Pertandingan Poster Kebudayaan yang bertujuan menggalakkan kreativiti dan pemahaman pelajar terhadap elemen budaya setiap negeri.
Selain itu, Pertandingan Pentas Kebudayaan membolehkan pelajar menampilkan pelbagai jenis tarian tradisional, manakala Pertandingan Busana Tradisional memperagakan pakaian tradisional dari pelbagai negeri, sekali gus menyemai kesedaran dan penghargaan terhadap kepelbagaian budaya serta warisan pakaian tradisional dalam kalangan pelajar.

Majlis turut disemarakkan dengan pameran kebudayaan pelbagai negeri oleh para pelajar yang menonjolkan unsur unik setiap negeri, serta jualan makanan tradisional yang diharapkan dapat memupuk minat, penghargaan terhadap seni serta semangat perpaduan dalam kalangan pelajar.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi