Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Astro Shaw membuka tirai tahun 2026 dengan filem yang mengetengahkan realiti dalam masyarakat yang jarang dibincangkan, iaitu nikah fasid.
Filem tersebut ialah Akad yang Hilang, membawakan kisah Maryam, lakonan Mira yang mahu berkahwin dengan kekasih pilhan hatinya, Ammar (Syarul).
Sebagai sebahagian proses pendaftaran perkahwinan, Maryam memohon wali hakim kerana bapanya, Husni, telah meninggal dan adik tunggalnya, Zaki (Idan), baru berumur 17 tahun.
Walau bagaimanapun, langkah yang sepatutnya mudah menjadi rumit dengan pendedahan yang mengejutkan.

Menurut Raja Jastina yang juga Ketua Astro Shaw, pihaknya percaya filem mampu menjadi medium perubahan sosial. Akad yang Hilang, katanya, bukan sekadar sebuah filem, tetapi sebuah naskhah yang mampu mencetuskan perbualan dan perdebatan tentang realiti sosial yang mungkin kita terlepas pandang.
“Filem ini akan membuatkan anda berpaling kepada orang di sebelah dan bertanya, “Apa yang akan kita lakukan jika perkara ini berlaku kepada kita?”. Kami mahu mencetuskan perbualan di dalam pawagam, dalam perjalanan pulang dan di meja makan kerana kesedaran adalah langkah pertama untuk melindungi yang tersayang,” ujar Raja Jastina.
Dengan gabungan unsur cinta dan konflik moral, tambah beliau, Astro Shaw merasakan naskhah seperti Akad yang Hilang jarang dipersembahkan di pawagam tempatan.
Tambah beliau, filem Akad yang HiIang membawa penonton lebih memahami impak besar yang timbul daripada satu kesilapan atau keputusan kecil, sekali gus mencabar persepsi dan cemuhan masyarakat terhadap mereka yang terbabit.
Filem tersebut menjalani penggambaran di Selangor (Keramat, Hulu Langat, Taman Seputeh dan sebagainya), Akad yang Hilang turut dibintangi Sherie Merlis sebagai Suraya, iaitu ibu Maryam dan Zaki, serta Aleza Shadan (Datin Ramlah).
Nikah fasid merujuk kepada perkahwinan yang dilangsungkan, tetapi tidak memenuhi rukun dan syarat sah menurut hukum syarak, sekali gus memberi implikasi besar kepada status perkahwinan, dan anak-anak yang terlibat.
Persoalan ini menjadi nadi Akad yang Hilang dengan mengetengahkan refleksi realiti bagaimana seseorang terperangkap antara implikasi undang-undang dengan stigma masyarakat.
Mahkamah syariah memaklumkan perkahwinan ibu bapa Maryam tidak sah kerana fasid. Masalah Maryam itu tersebar di media sosial sehingga menjadi perbualan negatif masyarakat.
Untuk mengetahui bagaimanakah Maryam dapat meneruskan perkahwinannya, berhadapan stigma orang sekeliling dan mencari jawapan mengenai statusnya sebagai anak yang sah, tontonlah Akad yang Hilang di pawagam seluruh negara bermula 15 Januari 2026.
Filem ini juga merupakan arahan sulung Bahri Uma, Dengan pengalaman luas dalam pengarahan drama televisyen, beliau membawakan garapan emosi yang kuat dengan sokongan skrip oleh Zuli dan Eenaz.
Gunakan #AkadYangHilang di platform media sosial untuk maklumat berkatan filem ini. Ikuti semua akaun media sosial Astro Shaw untuk info dan klip menarik Akad Yang Hilang.