Diterbitkan pada 12 Januari 2026, 08:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dua manuskrip Melayu karya agung tokoh sufi dan sasterawan Nusantara abad ke-16, Hamzah Fansuri, diiktiraf sebagai Dokumen Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) melalui Program Memory of the World (MoW) pada 17 April 2025 yang lalu.

Menurut Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu (PKMM), Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), dua manuskrip koleksi tersebut ialah Asrār al-‘Ārifīn (MSS 1424 (B) dan Syarāb al-‘Āsyiqīn (MSS 2538).

“Pengiktirafan ini merupakan hasil kerjasama pencalonan bersama PNM dan Perpustakaan Nasional Indonesia (PERPUSNAS) melalui manuskrip Syair Hamzah Fansuri (ML 83) dan Syair Anak Dagang (NB 2165) dan telah mengukuhkan kedudukan manuskrip Melayu sebagai sebahagian penting daripada khazanah dokumentari global,” katanya dalam satu kenyataan.

PKMM PNM berkata, dengan pengiktirafan terbaharu ini, PNM menambah satu lagi kejayaan selepas Hikayat Hang Tuah (2001), Koleksi Cerita Panji (2017) dan Misa Melayu (2023).

Tambahnya, rekod cemerlang ini menempatkan Malaysia antara negara paling aktif di Asia Tenggara dalam usaha pemuliharaan warisan dokumentari menurut piawaian antarabangsa.

“Hamzah Fansuri merupakan tokoh perintis dalam penulisan tasawuf Melayu dan individu yang mempelopori penggunaan bentuk syair dengan skema rima a-a-a-serta merupakan antara penulis Melayu terawal yang menampilkan namanya dalam karya, suatu kelainan penting dalam tradisi kesusasteraan klasik yang biasanya tidak menzahirkan identiti pengarang,” jelasnya.

Menurut PKMM PNM, beliau meninggalkan legasi yang sangat besar dalam kesusasteraan dan pemikiran Islam di Nusantara.

Ujarnya, karya-karya beliau bukan sahaja menjadi sumber rujukan utama dalam kajian sufisme Melayu, tetapi juga menjadi model penulisan dalam bahasa Melayu klasik yang mempengaruhi generasi penulis dan ulama selepasnya.

Jelasnya, pemikiran beliau terus dikaji dan diapresiasi oleh para sarjana dan intelektual hingga ke hari ini, menunjukkan betapa relevannya ajaran dan karya beliau dalam konteks sejarah dan budaya Melayu.

Katanya, legasi Hamzah Fansuri kekal sebagai sumber inspirasi bukan sahaja dalam bidang kesusasteraan dan pemikiran Islam, tetapi juga dalam usaha melestarikan warisan budaya Melayu demi generasi masa depan.

Menurutnya, manuskrip karya Hamzah Fansuri kini ditemui di pelbagai perpustakaan dan institusi di Malaysia, Indonesia, Belanda serta sejumlah pusat akademik lain, baik di dalam mahupun di luar negara.

“Antara karya beliau yang paling dikenali ialah Syair Perahu; Syair si Burung Pungguk; Syair si Burung Pingai (burung pipit); Syair Dagang; Asrār al-Ārifīn dan Syarāb al-’Āsyiqīn,” katanya.

PKMM PNM berkata, pengiktirafan UNESCO terhadap manuskrip Melayu karya-karya Hamzah Fansuri bukan sahaja mengangkat martabat karya-karya agung Melayu, tetapi juga membuktikan kemampuan PNM sebagai penjaga warisan dokumentari intelektual negara.

Tambahnya, kejayaan ini turut memberi inspirasi baharu kepada usaha melestarikan khazanah intelektual Nusantara, selain mengukuhkan identiti budaya dan Sejarah bangsa dalam arena dunia.

Ujarnya, komitmen PNM tidak pernah surut untuk memastikan warisan Melayu akan terus dikenali, dihargai dan diraikan oleh generasi masa kini dan generasi mendatang.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi