Diterbitkan pada 21 Januari 2026, 12:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan memberikan fokus terhadap lima kluster utama menuju Pembinaan Negara Bangsa sepanjang tahun ini.

Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang berkata, lima kluster tersebut ialah Tunas MADANI, Komuniti MADANI, Harmoni MADANI, Rakyat MADANI dan Warisan MADANI.

“Tunas MADANI  bertujuan membentuk generasi muda yang berjiwa patriotik dan berperanan sebagai ejen perubahan sosial yang harmoni, sementara bagi mengangkat peranan institusi sosial di lapangan pula, KPN memperkenalkan Komuniti MADANI sebagai pemangkin kepada penyatupaduan pada peringkat akar umbi dan kejiranan,” katanya ketika menyampaikan ucapan amanat tahun baharu 2026 di Putrajaya, semalam.

Selain itu, ujarnya, melalui kluster Harmoni MADANI pula, kerukunan antara pelbagai komuniti akan diperkukuh melalui pemupukan persefahaman bersama, manakala kluster Rakyat MADANI pula akan meraikan kepelbagaian seni, budaya dan perayaan pelbagai kaum di negara ini.

Tambah beliau, dalam usaha untuk mengekalkan akar sejarah negara, kluster Warisan MADANI akan memainkan peranan penting untuk memelihara promosi dan memartabatkan khazanah budaya serta identiti negara.

Justeru, tema “Bersama Membina Negara Bangsa” telah dipilih bagi tahun ini selari dengan aspirasi kerajaan MADANI melalui Rancangan Malaysia Ketiga Belas yang turut mengangkat pembinaan negara bangsa sebagai satu daripada tonggak utama pembangunan dan penyatupaduan rakyat dan negara.

“Pada tahun ini, KPN akan terus melaksanakan beberapa sesi libat urus, perbincangan meja bulat, sesi townhall serta penganjuran Persidangan Negara Bangsa pada September 2026 bagi menghasilkan satu bluprin Negara Bangsa untuk rujukan terutamanya kepada agensi kerajaan untuk membuat dasar dan inisiatif baharu,” katanya.

Beliau turut mengiktiraf peranan semua pegawai perpaduan, kurator muzium, pegawai arkib serta pustakawan sebagai Jurutera Sosial Negara yang memainkan peranan penting untuk menyemarakkan semangat perpaduan, memelihara warisan dan memperkukuh usaha pembinaan negara bangsa.

Ujarnya, sepanjang tahun 2025, KPN telah berjaya melaksanakan 762 buah program perpaduan meliputi program, kempen dan aktiviti berdasarkan empat ikhtiar, iaitu Ekosistem Perpaduan, Eksplorasi Rukun Negara, Harmoni MADANI dan Komuniti Sosio Budaya.

Majlis amanat pada hari ini turut diserikan dengan pelancaran logo rasmi Negara Bangsa, lagu Faham, Hormat dan Terima, serta pelantikan rakan media rasmi Negara Bangsa, iaitu Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA).

Kredit Foto: KPN
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi