Diterbitkan pada 29 Januari 2026, 02:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Majlis Sejarawan Negara (MSjN), badan berautoriti di bawah Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menyambut baik saranan dan penegasan YAB Perdana Menteri untuk memperkukuh kedudukan pembelajaran Sejarah Malaysia sebagai elemen teras dalam sistem pendidikan negara semasa Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 baru-baru ini.

MSjN berpandangan bahawa kewajipan menguasai pembelajaran Sejarah Malaysia merentas semua aliran pendidikan termasuklah sekolah antarabangsa, institusi pendidikan agama dan semua sekolah aliran Cina atau UEC merupakan langkah strategik untuk memperkukuh jati diri nasional, kefahaman kenegaraan serta perpaduan masyarakat majmuk.

Tambahnya, pendekatan ini penting bagi memastikan setiap generasi rakyat Malaysia memahami akar sejarah dan nilai bersama yang membentuk negara bangsa.

“Langkah memperkenalkan penilaian sejarah secara lebih sistematik termasuklah pada peringkat awal persekolahan menunjukkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh literasi sejarah sejak usia muda,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut MSjN, pada peringkat pendidikan tinggi pula, pengenalan mata pelajaran umum berkaitan dengan sejarah dan perlembagaan negara dapat memastikan semua graduan memiliki pengetahuan asas kenegaraan tanpa mengira bidang pengajian.

MSjN turut yakin bahawa pengintegrasian pembelajaran sejarah dalam agenda reformasi pendidikan nasional, seiring kemajuan teknologi dan digital akan mewujudkan keseimbangan antara pembangunan dengan keteguhan nilai kemanusiaan.

Sehubungan dengan itu, MSjN menyokong sepenuhnya pelaksanaan dasar ini demi kelangsungan pembinaan negara bangsa.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi