Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMelaka – Kedai buku sejarah dunia, CEB Cafe yang menampilkan konsep gabungan pusat ilmu, pameran peradaban dan kafe santai telah dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Mohd Rustam dalam satu majlis penuh bermakna di Jalan Bendahara, hari ini.
CEB Cafe diwujudkan sebagai sebuah ruang berteraskan sejarah peradaban dunia yang merangkumi pelbagai tamadun pada peringkat global, Asia dan Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN). Penubuhannya bertujuan memperkaya pemahaman masyarakat terhadap sejarah dan perkembangan tamadun manusia melalui pendekatan pendidikan yang inklusif dan berinformasi.
Kedai buku ini menempatkan pelbagai koleksi bahan bacaan dan pameran berkaitan dengan tokoh dunia, tokoh Asia, tokoh ASEAN, serta tokoh terkemuka Malaysia. Koleksi buku yang dipamerkan merangkumi bahan dari pelbagai negara, termasuk beberapa koleksi istimewa TYT Tun Mohd Ali Rustam yang diperoleh dari London melalui pembelian dan penyerahan khas.

Bangunan yang menempatkan CEB Cafe juga mempunyai nilai sejarah tersendiri. Bangunan tersebut merupakan bangunan lama Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang kemudiannya dibeli oleh pihak Yayasan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) sebelum ditransformasikan menjadi pusat ilmu dan pameran sejarah.
Lebih signifikan, lokasi ini merupakan tempat permulaan kerjaya TYT Tun Mohd Ali Rustam yang pernah berkhidmat sebagai kerani kewangan, sekali gus menjadikan penubuhan CEB Cafe sebagai simbol penghargaan dan kenangan terhadap perjalanan awal kerjaya beliau.
Yang turut hadir pada majlis tersebut ialah Hakim Mahkamah Rayuan Putrajaya, Yang Arif Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Encik Zulfa Hamzah.

Pembukaan CEB Cafe dijangka menjadi satu lagi tarikan baharu pelancongan berteraskan ilmu di negeri Melaka sejajar dengan statusnya sebagai tapak warisan dunia dan pusat sejarah negara.
