Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) telah melancarkan Skuad Perpaduan Madani bersempena dengan sambutan perayaan Thaipusam tahun ini sebagai usaha berterusan kerajaan MADANI untuk memperkukuh agenda perpaduan nasional.
Menurut Timbalan Menteri Perpaduan Negara, YB Tuan Yuneswaran Ramaraj, pelibatan sukarelawan ini terdiri daripada pelbagai bangsa yang bertugas di reruai air percuma (thaneer panthal) di Batu Caves.
“Inisiatif ini adalah untuk membantu melancarkan perjalanan perayaan di samping menjadi simbol jelas perpaduan, keprihatinan dan semangat kebersamaan rakyat Malaysia yang saling menyokong antara satu dengan lain,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, perayaan Thaipusam merupakan perayaan keagamaan yang signifikan serta menzahirkan nilai murni seperti kepercayaan, pengorbanan, disiplin dan keazaman diri.
Sambutan ini turut mencerminkan keindahan kepelbagaian budaya dan agama yang menjadi asas kepada keharmonian serta identiti nasional Malaysia sebagai sebuah negara majmuk.
Ujarnya, dalam konteks masyarakat berbilang kaum dan kepercayaan, keharmonian antara agama dengan budaya perlu terus dipelihara melalui sikap saling menghormati, memahami serta meraikan perbezaan.
“Semangat hormat-menghormati dan kebersamaan dalam kalangan rakyat tanpa mengira latar belakang menjadi tunjang utama terhadap kestabilan, kemajuan dan kesejahteraan negara.
“Kepelbagaian yang dimiliki merupakan suatu anugerah yang tidak ternilai yang memperkayakan identiti nasional serta mengukuhkan fabrik sosial yang menjadi asas kekuatan negara,” jelasnya.
Tambah beliau, kepelbagaian inilah yang membentuk Malaysia sebagai sebuah negara yang unik, berdaya tahan dan dihormati pada peringkat antarabangsa.
“Marilah kita terus menghargai, meraikan dan memanfaatkan kekuatan kepelbagaian ini dalam usaha membina Malaysia yang lebih kukuh, harmoni dan makmur,” katanya.