Diterbitkan pada 2 Februari 2026, 15:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malaysia Music Night Run yang diadakan bersempena dengan Program Larian Visit Malaysia 2026 (VM2026) pada 1 Februari lalu berjaya menarik penyertaan ramai untuk menyemarakkan semangat perpaduan dan kebudayaan negara.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memberikan sokongan penuh terhadap program ini yang bukan sekadar aktiviti sukan semata-mata, malah menjadi wadah penyatuan rakyat Malaysia MADANI.

Menurut sumber MOTAC, program ini merupakan inisiatif nasional dalam usaha mempromosikan gaya hidup sihat dan memperkukuh identiti budaya melalui pelancongan berasaskan komuniti.

Acara pada malam itu dipenuhi dengan pelbagai pengisian menarik yang menggabungkan acara sukan dan budaya. Antara yang menjadi tarikan utama termasuklah persembahan daripada 100 orang penari kebudayaan dan 500 orang penari dikir barat yang memeriahkan suasana.

Para peserta dan penonton turut dihiburkan dengan konsert yang menampilkan artis tempatan terkenal seperti Bella Astillah dan I‘m Neeta. Acara ini juga menggabungkan 14 elemen budaya dalam persembahannya.

Larian malam yang menghubungkan pelbagai lokasi ikonik di Kuala Lumpur ini menjadi landasan terbaik bagi mempromosikan kempen Melawat Malaysia 2026 kepada masyarakat tempatan dan pelancong.

MOTAC merakamkan ucapan terima kasih kepada semua peserta yang hadir memeriahkan suasana dan menjayakan program tersebut. Sokongan berterusan daripada rakyat Malaysia dijangka menjadi pemangkin terhadap usaha negara untuk memartabatkan sektor pelancongan, seni dan budaya.

Program sebegini diharap dapat terus diadakan bagi mengukuhkan lagi semangat perpaduan sambil mempromosikan kekayaan warisan budaya Malaysia menjelang kempen Visit Malaysia 2026.

Acara ini dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, dan turut dihadiri oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato Sri Tiong King Sing; dan Ketua Setiausaha MOTAC, YBhg. Dato’ Shaharuddin Abu Sohot bagi menyaksikan pelepasan peserta larian yang melalui mercu tanda ikonik Kuala Lumpur.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi