Diterbitkan pada 6 Februari 2026, 09:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pameran “Tunku Negarawan Ulung: Pengasas Negara Bangsa” di Muzium Negara bermula dari 1 Februari hingga 29 Mac ini sebagai usaha memperkukuh kefahaman rakyat terhadap sejarah pembinaan negara dan asas perpaduan sosial.

Menurut kenyataan Kementerian Perpaduan Negara (KPN), pameran berkenaan merupakan anjuran Arkib Negara yang menyorot peranan besar Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang meletakkan asas pembentukan negara berteraskan persefahaman, toleransi, keadilan dan muafakat antara kaum.

Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang berkata, pemahaman terhadap sejarah dan legasi negarawan terdahulu amat penting dalam membentuk peradaban serta memperkukuh pembinaan negara pada masa hadapan.

“Generasi muda khususnya perlu mengenali dan menghayati nilai kepimpinan, kebijaksanaan serta semangat perpaduan yang diwariskan oleh Tunku Abdul Rahman agar negara terus dibina atas asas keharmonian,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh KPN.

KPN berkata, kepimpinan Tunku Abdul Rahman bukan sahaja membawa negara mencapai kemerdekaan, malah membentuk kerangka pentadbiran dan pembangunan rakyat dalam masyarakat majmuk yang harmoni.

“Pameran itu dibuka mulai 9 pagi hingga 5 petang, menampilkan pelbagai bahan arkib dan dokumentasi sejarah yang berfungsi sebagai medium pendidikan awam bagi menyemai semangat patriotisme,” ujarnya.

Orang awam khususnya golongan belia dan pelajar, dijemput hadir bagi menghayati sejarah serta mengambil iktibar daripada legasi pembinaan negara bangsa yang diasaskan oleh Tunku Abdul Rahman.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi