Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam 24 Februari – Bersempena dengan bulan Ramadan, Wayang Budiman menganjurkan slot khas berjudul “Rohaniah Ramadan” yang menampilkan enam karya sinema dunia dari pelbagai negara pada setiap hari Jumaat dan Sabtu mulai 27 Februari 2026 hingga 15 Mac 2026 bermula pukul 10.30 malam.
Menurut jurucakap Wayang Budiman, program ini mengetengahkan filem yang memaparkan kehidupan masyarakat Islam dalam konteks budaya dan latar sosial berbeza, selain mengangkat tema kerohanian, kemanusiaan, politik, agama, konflik identiti serta emansipasi wanita.
Karya yang bakal ditayangkan ialah Lingui dari Chad (27 Februari), Fatima dari Perancis (28 Februari), A Door to the Sky dari Maghribi (6 Mac), Commitment Hasan dari Turkiye (7 Mac), Inshallah a Boy dari Jordan (14 Mac) dan Circus of Life dari Pakistan (15 Mac).
Filem pertama tayangan pembukaan pada 27 Februari, iaitu Lingui (2021) arahan pengarah tersohor Chad, Mahamat-Saleh Haroun, mengisahkan hubungan seorang ibu yang taat beragama dengan anak gadisnya berusia 15 tahun yang berhadapan dilema apabila hamil luar nikah dan berhasrat menggugurkan kandungan.
Karya tersebut pernah dicalonkan bagi anugerah utama Palme d’Or dalam Festival de Cannes, selain memenangi pengiktirafan dalam Festival Filem Hamburg, Jerman dan Festival Filem Torino, Itali.
Sementara itu, Fatima (2015) arahan Philippe Faucon yang akan ditayangkan pada 28 Februari, memaparkan perjuangan seorang ibu tunggal yang bekerja keras demi membesarkan dua orang anak perempuannya dalam suasana sosial yang mencabar.
Diinspirasikan daripada kisah benar serta puisi karya penyair Afrika Utara, Fatima Elayoubi, filem ini telah memenangi anugerah Filem Terbaik di Cesar Awards serta Louis Delluc Prize.
Menurut penganjur, slot “Rohaniah Ramadan” bukan sekadar tayangan filem, malah menjadi ruang wacana budaya dan refleksi kerohanian melalui sesi bual santai yang akan diadakan selepas setiap tayangan.
“Program ini bertujuan membuka ruang apresiasi terhadap kepelbagaian pengalaman masyarakat Islam di seluruh dunia, selain menggalakkan dialog dan pemahaman rentas budaya,” kata penganjur.
Orang ramai diundang ke sesi tayangan percuma ini yang akan diadakan di Pusat Kajian dan Apresiasi Filem (PKAF), 13-2, Jalan Pulau Lumut P U10/P, Seksyen U10, Alam Budiman, 40170 Shah Alam, Selangor.