Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – GrabFood dan Tourism Malaysia telah menjalinkan kerjasama strategik menerusi inisiatif 5-Star Eats bagi memperkukuh sektor gastropelancongan negara.
Kerjasama ini sekali gus membuka peluang lebih besar kepada pengusaha makanan tempatan untuk mempromosikan juadah mereka kepada pelancong luar yang berkunjung ke Malaysia.
Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy berkata, kerjasama dengan sektor swasta amat penting bagi menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) yang dianggap sebagai agenda nasional negara.
“Inisiatif ini membuka peluang kepada banyak pengusaha kecil yang sebelum ini tidak mempunyai ruang yang luas untuk mempromosikan makanan mereka di platform utama,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Grab 5-Star Eats di Kuala Lumpur, semalam.
Menurut Datuk Manoharan Periasamy, platform digital seperti GrabFood kini memberikan laluan kepada peniaga makanan kecil-kecilan yang sebelum ini mungkin tidak mendapat tempat dalam platform promosi utama untuk menonjolkan keunikan masakan tempatan mereka.
Beliau turut menjelaskan bahawa pelancong yang datang ke Malaysia bukan sekadar berminat dengan restoran mewah, malah turut ingin merasai pengalaman kulinari tempatan yang tulen.
Tegasnya, semua pihak dalam ekosistem pelancongan, bukan hanya hotel lima bintang atau restoran besar berhak untuk menikmati manfaat daripada pertumbuhan industri ini.
Sementara itu, Pengarah Komersial dan Penghantaran Grab Malaysia, Tan Jiong Jian berkata, inisiatif 5-Star Eats dibangunkan berdasarkan ulasan dan penilaian pelanggan sebenar di platform GrabFood. Data tersebut digunakan bagi mengenal pasti restoran terbaik di seluruh Malaysia.
“Sebagai pelancong, kebanyakan orang mahu makan seperti orang tempatan. Jadi kami menggunakan ulasan daripada jutaan pelanggan sebenar untuk mengenal pasti restoran terbaik,” jelas beliau.
Tan Jiong Jian turut menyatakan hasrat untuk mengembangkan jenama GrabFood 5-Star Eats agar diiktiraf bukan sahaja pada peringkat serantau, malah pada peringkat global sebagai penanda aras kualiti restoran.
Menurut beliau, kerjasama dengan Tourism Malaysia merupakan titik permulaan yang sangat memberangsangkan ke arah matlamat tersebut.
Inisiatif 5-Star Eats ini dijangka menjadi pemangkin kepada usaha menjayakan TMM2026 sekali gus mengangkat nama Malaysia sebagai destinasi gastropelancongan bertaraf dunia.