Diterbitkan pada 13 Mac 2026, 12:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bukit Mertajam – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan merangka strategi baharu bagi memastikan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) terus berjalan lancar walaupun berhadapan dengan cabaran susulan konflik yang melanda Asia Barat.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, YB Dato Sri Tiong King Sing berkata, satu mesyuarat khas akan diadakan bagi membincangkan langkah terbaik untuk memastikan aktiviti promosi pelancongan negara tidak terus terjejas akibat situasi yang semakin memuncak di rantau tersebut.

“Memang akan terjejas, tetapi kita akan merangka strategi baharu bagi melaksanakan promosi ini. Kita akan berbincang dahulu, nanti saya akan diberitahu keputusannya,” jelas beliau kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Iftar Ramadan sempena TMM2026 di Homestay Mengkuang Titi di sini, semalam.

Majlis iftar yang dihadiri kira-kira 2000 pengunjung itu merupakan sebahagian daripada usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan tradisi.

Program yang bertemakan semangat gotong-royong itu turut memberikan peluang kepada pelancong domestik dan antarabangsa untuk merasai pengalaman Ramadan yang unik di negara ini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat Pulau Pinang, Goh Choon Aik.

Dalam pada itu, YB Dato’ Sri Tiong King Sing turut mengulas tentang gangguan jadual penerbangan ke Timur Tengah, dengan menyatakan pihaknya sedang memantau rapat perkembangan terkini.

Beberapa syarikat penerbangan utama seperti Emirates dan Qatar Airways terpaksa membuat pelarasan jadual penerbangan masing-masing susulan penutupan ruang udara di kawasan konflik tersebut.

Walaupun situasi semasa menimbulkan cabaran kepada industri pelancongan negara, MOTAC dipercayai akan mengenal pasti pasaran baharu dan pendekatan pemasaran yang lebih kreatif bagi memastikan sasaran kehadiran pelancong di bawah TMM2026 dapat dicapai.

Kredit Foto: Facebook MOTAC
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi