Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPetaling Jaya – Penyertaan bagi Asian Television Awards (ATA) ke-31 kini dibuka secara rasmi kepada penggiat industri penyiaran dan penerbitan televisyen di seluruh Asia, termasuklah Malaysia.
Menurut ATA, anugerah berprestij itu mengalu-alukan penyertaan karya televisyen yang telah disiarkan pada tempoh 1 Julai 2025 hingga 30 Julai 2026.
“Penganjuran anugerah tahunan ini bertujuan mengiktiraf kecemerlangan kandungan televisyen serta menghargai bakat kreatif dalam industri penyiaran di rantau Asia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, bagi edisi ke-31 kali ini, beberapa kategori baharu turut diperkenalkan sejajar dengan perkembangan trend dan teknologi dalam industri kreatif.
Antara kategori baharu tersebut termasuklah Micro Drama, selain kategori berkaitan dengan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam bidang sinematografi, reka bentuk karakter dan audio.
Jelasnya, pengenalan kategori baharu ini diharap dapat membuka ruang kepada pengkarya untuk meneroka pendekatan penceritaan yang lebih inovatif serta memanfaatkan teknologi baharu dalam penghasilan kandungan televisyen.
“Kami menggalakkan penggiat industri tempatan untuk mengambil peluang ini bagi mengetengahkan karya terbaik mereka ke peringkat antarabangsa menerusi platform Asian Television Awards yang menjadi penanda aras kecemerlangan kandungan televisyen di Asia,” katanya.
Penggiat industri yang berminat boleh mengemukakan penyertaan melalui laman sesawang rasmi anugerah tersebut di www.asiantelevisionawards.net. Tarikh tutup penyertaan ditetapkan pada 31 Julai 2026.