Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Festival besar-besaran bakal menyemarakkan suasana pusat bandar Kuala Lumpur apabila KL Festival 2026 dijadualkan berlangsung bermula dari 6 Mei 2026 hingga 31 Mei 2026, dengan sasaran kehadiran lebih 150,000 pengunjung sepanjang tempoh penganjurannya.
Pengarah Urusan Think City, YBhg. Datuk Hamdan Abdul Majeed berkata, festival ini bukan sekadar hiburan biasa, tetapi merupakan platform terbuka yang direka khas untuk semua lapisan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang.
“Festival ini bukan khusus untuk satu segmen sahaja, tetapi merangkumi semua warga Malaysia dengan pelbagai elemen termasuklah seni visual, drama, persembahan pentas dan tayangan filem,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang media pengumuman festival berkenaan.

Lebih 80 acara dijangka akan diadakan di 26 bangunan warisan, ruang awam dan jalan sekitar pusat bandar, melibatkan lebih 700 jam pengisian program yang pelbagai.
Selain memberikan peluang kepada orang ramai untuk menikmati pengalaman budaya yang kaya dan pelbagai, festival ini juga turut dijangka memberikan nafas baharu kepada ekonomi tempatan. Sektor makanan dan minuman, peruncitan, pengangkutan serta hospitaliti dijangka antara yang paling mendapat manfaatnya.
“Apabila orang ramai berkunjung menikmati pengalaman, mereka secara tidak langsung menyokong perniagaan tempatan,” jelas beliau.
KL Festival 2026 dianjurkan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan mendapat sokongan Kementerian Kewangan serta Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).
Penganjuran festival ini juga selaras dengan inisiatif Warisan KL yang diterajui oleh Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026), sekali gus mengukuhkan imej Kuala Lumpur sebagai destinasi budaya dan pelancongan bertaraf dunia.
Orang ramai digalakkan memanfaatkan peluang ini untuk mengenali semula khazanah warisan ibu kota sambil menyokong usaha pemulihan dan pembangunan bandar yang sedang giat dijalankan.