Diterbitkan pada 13 Mei 2026, 11:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penghargaan Atlet Negeri Perlis 2025 dan Pelancaran “Road to Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA Ke-22 Selangor 2026” yang berlangsung di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis, Kangar.

Turut berangkat ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda puteri kedua baginda berdua, iaitu Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengerusi Belia dan Sukan, Komunikasi dan Digital, Pengangkutan, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, YBrs. Encik Wan Zikri Afthar Ishak.

Majlis anjuran Majlis Sukan Negeri Perlis itu diadakan sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada atlet-atlet cemerlang negeri yang telah mengharumkan nama Perlis sepanjang tahun 2025 di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Penganjuran majlis tersebut turut menjadi simbol kebangkitan semangat, iltizam serta kesiapsiagaan kontinjen Perlis dalam menghadapi temasya SUKMA Ke-22 Selangor 2026 dan Para SUKMA 2026, dengan tekad untuk melakar pencapaian lebih gemilang demi mengangkat martabat sukan negeri ke tahap yang lebih tinggi.

Sempena majlis berkenaan, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan simbolik pelancaran “Road To SUKMA dan Para SUKMA Ke-22 Selangor 2026” selain menyampaikan pengurniaan pelantikan Chef De Mission (CDM), Deputy Chef De Mission serta watikah pelantikan kepada 24 pengurus pasukan dan rakan strategik kontinjen negeri pada edisi kali ini.

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama-sama dengan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda puteri kedua baginda berdua, iaitu Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail ketika Majlis Penghargaan Atlet Negeri Perlis 2025 dan Pelancaran “Road to Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA Ke-22 Selangor 2026”.

Sementara itu, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah turut berkenan menyempurnakan pengurniaan watikah pelantikan kepada pengurus-pengurus pasukan wanita.

Majlis tersebut mencerminkan komitmen berterusan negeri ini dalam memperkasa pembangunan sukan, menyuntik motivasi dan keyakinan kepada seluruh atlet, jurulatih serta pengurusan kontinjen untuk terus berjuang habis-habisan membawa cabaran negeri dengan penuh semangat, disiplin dan jiwa juang tinggi di pentas SUKMA 2026 yang akan datang nanti.

Encik Wan Zikri Afthar Ishak berkata Perlis menyasarkan 20 pingat emas bagi menyahut titah Raja Muda Perlis yang menzahirkan hasrat agar kontinjen negeri itu mampu mencapai sasaran berkenaan di temasya SUKMA.

“Titah tersebut yang dizahirkan sempena Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perlis Tahun 2024 yang merupakan satu amanah besar kepada seluruh warga sukan negeri itu untuk terus bekerja keras dan meletakkan sukan Perlis pada tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Kredit Foto: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs)
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi