Diterbitkan pada 5 Mei 2026, 14:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Meru – Tiada hiburan yang melampau, hanya “hujan” dan seni leluhur yang membasahi jiwa pengunjung di Festival Seni Harmoni 2026. Festival yang berlangsung selama dua hari di Dataran Meru Klang, Selangor mencerminkan landskap seni budaya Jawa-Malaysia dan berjaya menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat.

Sejak awal pagi 1 Mei 2026, kawasan festival mula diisi program kebudayaan dan para pengunjung. Program ini dianjurkan oleh Persatuan Jawa Parit Bugis Muar Johor (PEJAWA) dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Meru, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), serta sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Apa yang membezakan festival ini adalah pendekatannya yang holistik merangkumi aspek kesihatan, pendidikan, ekonomi dan kesenian. Salah satu aktiviti yang mendapat sambutan hangat termasuklah pemeriksaan kesihatan percuma, bengkel makanan tradisional khas Jawa, kelas gamelan, Himpunan Seni Silat dan Pesta Bulan Mengambang. Setiap pengisian dirangka khusus bagi melestarikan warisan leluhur masyarakat Melayu-Jawa di Malaysia.

Menurut Pengasas PEJAWA, Tuan Haji Johar Paimin, festival ini merupakan manifestasi kepada semangat kebersamaan yang menjadi asas kekuatan masyarakat.

“PEJAWA bukan sekadar sebuah badan bukan kerajaan (NGO) kebudayaan di Muar, sebaliknya kami membawa misi untuk memartabatkan seni dan jati diri leluhur komuniti etnik Jawa di mana-mana jua kami berada. Kehadiran kami sebagai penganjur adalah bukti bahawa seni menyatukan kita,” – Tuan Haji Johar Paimin, pengasas PEJAWA

Beliau turut menegaskan bahawa pemilihan Meru sebagai lokasi festival kali ini bukanlah kebetulan, sebaliknya berdasarkan keunikan komuniti setempat yang masih kuat berpegang kepada akar budaya Jawa.

“Kami memilih Meru kerana keunikan komunitinya yang sangat dekat dengan jiwa kami. Ini membuktikan bahawa semangat persaudaraan dan kecintaan terhadap budaya bangsa tidak mengenal sempadan negeri,” tambah beliau.

Festival ini turut diserikan dengan kerjasama Meru Bengi Car Boot Sale yang membuka ruang kepada peniaga kecil IKS tempatan untuk menjana ekonomi setempat. Dalam masa yang sama, medium hebahan melalui Selangor FM membantu menarik lebih ramai pengunjung dari luar kawasan, menjadikan festival ini benar-benar bersifat inklusif dan terbuka.

“Acara Meru Bengi Car Boot Sale dan Festival Seni Harmoni ini adalah cerminan kepada wajah Meru sebagai kampung budaya Jawa. Kami sentiasa menyokong inisiatif yang bukan sahaja merancakkan ekonomi setempat, tetapi juga memperkayakan jiwa penduduk dengan pengisian seni warisan budaya,” katanya.

Kemuncak malam festival menyaksikan penganjuran Muafakat Seni Silat Harmoni yang menghimpunkan pelbagai aliran silat dari seluruh negara. Persembahan ini menjadi simbol kekuatan mempertahankan jati diri bangsa.

Sebelah malam pula, suasana pengunjung ditemani hujan di malam Pesta Bulan Mengambang. Walaupun begitu, semangat pengunjung tidak luntur dan pentas utama tetap diteruskan serta dihiasi dengan pelbagai persembahan kebudayaan seperti anklung, gamelan, zapin, kuda kepang dan barongan (patuh syariah). Persembahan artis tempatan seperti Herman Tino, Shafie Rio dan artis negara jiran, Ageng daripada Singapura turut menambah kemeriahan malam kemuncak tersebut.

Di samping itu, festival ini juga melakar satu detik penting melalui pelancaran Desa Lestari Gamelan 2026 anjuran Kelab Gamelan Nadasukma Malaysia. Inisiatif ini bertujuan mengembangkan seni gamelan ke peringkat akar umbi khususnya dalam kalangan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Menurut pimpinan Kelab Gamelan Nadasukma Malaysia, Saudara Bob menjelaskan bahawa projek ini bukan sekadar program seni, tetapi merupakan satu gerakan seni budaya untuk jangka masa yang panjang.

“Desa Lestari Gamelan 2026 bermula di sini, di Meru. Kemunculan Sulung bengkel gamelan ini disertai oleh pelajar Sekolah Asrama Yayasan Selangor dan program ini akan diteruskan di Keraton Mbah Anang dari Mei hingga Ogos pada tahun ini. Ini adalah usaha kita untuk memastikan bahawa gamelan tidak hanya hidup dalam kalangan generasi kami, tetapi juga turut bernafas dalam jiwa generasi muda,” jelas beliau.

Beliau turut menambah bahawa sokongan daripada GSSK MOTAC menjadi pemangkin kepada pelaksanaan program ini secara lebih tersusun dan berimpak tinggi.

Sepanjang festival berlangsung, kehadiran pelbagai tokoh dan organisasi seperti Jabatan Warisan Negara, MOSTI, Persatuan Anak Jawa Malaysia (AJMAL), serta Persatuan Masyarakat Jawa Sarawak memperlihatkan sokongan padu terhadap usaha memartabatkan budaya Jawa-Malaysia.

Tuntas Idea bagi program ini diadakan di Meru Klang adalah dari seorang tokoh besar dalam industri tanah air dan juga merupakan anak jati kelahiran Kampung Budiman di Meru, Datuk Syaiful Bahrim atau lebih mesra dengan panggilan Djpool. Beliau begitu komited dalam melestarikan budaya bangsa ke tahap  yang lebih tinggi.

Festival Seni Harmoni 2026 adalah gerakan budaya Melayu-Jawa yang bersifat lestari pada tiap-tiap tahun. Berbeza dengan penganjuran Festival Seni Harmoni di Keraton Mbah Anang pada tahun lepas, Meru, Klang pada tahun ini menjadi satu gerakan yang membuktikan bahawa dalam sektor kebudayaan masih ada ruang untuk melestarikan seni warisan leluhur.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi