Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yakin bahawa filem aksi tempatan, Konspirasi mampu menjadi medium kreatif untuk memperkukuh mesej antirasuah kepada masyarakat melalui penampilan realiti tugas pegawai agensi itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, YBhg. Tan Sri Azam Baki berkata, filem tersebut berjaya mengetengahkan tema penguatkuasaan membanteras rasuah secara realistik dan dramatik.
“Karya ini turut memaparkan isu kebocoran maklumat siasatan termasuklah pendedahan data sulit kepada pihak tidak bertanggungjawab, sekali gus memberikan kesedaran tentang implikasi pengkhianatan amanah terhadap keselamatan negara,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem tersebut di TGV Alamanda, Putrajaya, semalam.

Menurut beliau, filem berimpak tinggi itu diyakini dapat meningkatkan kefahaman serta keyakinan masyarakat terhadap peranan SPRM yang bukan sahaja tertumpu pada penguatkuasaan, malah meliputi usaha pencegahan dan pendidikan antirasuah.
“Masyarakat sebelum ini mungkin hanya mengetahui gerak kerja SPRM menerusi laporan berita, namun Konspirasi memberikan gambaran lebih dekat tentang perjuangan, cabaran, tekanan dan keteguhan prinsip pegawai SPRM di lapangan.
“Filem ini memberikan gambaran jelas tentang cabaran sebenar yang dihadapi oleh pegawai penguat kuasa untuk melaksanakan tanggungjawab serta amanah demi kepentingan negara,” ujarnya.
Sementara itu, pengarah filem Konspirasi, Encik Ghaz Abu Bakar berkata, karya berkenaan mendapat kelulusan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tanpa sebarang potongan jalan cerita.
Tambah beliau, filem itu bukan sekadar naskhah hiburan, sebaliknya sarat dengan mesej dan nilai murni.
“Filem ini menjadi medium untuk mengetengahkan SPRM kepada masyarakat dari sudut yang lebih dekat dan berbeza. Terima kasih kepada semua pihak yang menyokong penghasilan filem ini,” katanya.
Mengulas tentang filem tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, YBhg. Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib pula berkata, keterbukaan SPRM menampilkan realiti tugas mereka kepada umum mencerminkan tahap ketelusan agensi itu.
“Filem Konspirasi sebagai filem kenegaraan yang berjaya diketengahkan menerusi mesej bahawa sesuatu kesalahan tetap dianggap salah tanpa kompromi,” katanya.
Filem Konspirasi yang menampilkan barisan pelakon terkenal tanah air seperti Datuk Adi Putra, Hisyam Hamid, Alicia Amin, Shidin Kamal, Che Puan Sarimah Ibrahim, Amir Nafis dan Esma Daniel dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 21 Mei 2026.
Yang turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, YBhg. Dato’ Azmi Kamaruzaman; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, YBhg. Dato’ Indera Junipah Wandi serta barisan pengarah kanan, pengarah bahagian dan negeri SPRM.