Diterbitkan pada 31 Mei 2026, 09:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pemeliharaan khazanah ilmu dan warisan intelektual negara memerlukan komitmen bersama semua pihak bagi memastikan bahan-bahan ilmu, penerbitan dan dokumentasi bangsa terus terpelihara untuk rujukan generasi akan datang.

Perkara itu menjadi fokus utama dalam program Bual Bicara Kutubkhanah: Khazanah Kita Tanggungjawab Kita yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026, semalam.

Program yang dikendalikan oleh Perancang Bahasa Bahagian Promosi dan Pengiktirafan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Puan Rabi’ahtuladawyah Md Saleh, menampilkan dua ahli panel, iaitu Timbalan Pengarah Kanan Pusat Rujukan Malaysiana dan Luar Negara, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), YBrs. Encik Razman Abd Rani, serta Pustakawan Pusat Dokumentasi Melayu (PDM) DBP, YBrs. Dr. Wan Khairoslinda Wan Mohd Khairi.

Dalam perkongsiannya, Encik Razman menjelaskan bahawa PNM bermula sebagai sebahagian daripada Arkib Negara Malaysia sebelum berdiri sebagai institusi berasingan pada tahun 1977.

Menurut beliau, usaha mengumpulkan dan memelihara warisan intelektual negara telah bermula sejak penguatkuasaan Akta Pemeliharaan Buku-Buku 1966 yang kemudiannya diperkemas melalui Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1986.

“Setiap penerbit di Malaysia wajib menyerahkan lima naskhah buku kepada Perpustakaan Negara Malaysia. Langkah ini penting bagi memastikan khazanah intelektual negara sentiasa terpelihara dan boleh dirujuk oleh generasi masa hadapan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa naskhah yang diterima akan diagihkan untuk kegunaan rujukan pengguna serta penyimpanan di beberapa pusat repositori termasuklah di Kuala Lumpur, Perlis dan Sabah sebagai langkah perlindungan sekiranya berlaku bencana di salah sebuah pusat repositori.

Menurut beliau lagi, PNM kini sedang menggubal penambahbaikan akta sedia ada bagi membolehkan bahan yang lahir secara digital (born digital) turut dipelihara sebagai warisan intelektual negara.

Timbalan Pengarah Kanan Pusat Rujukan Malaysiana dan Luar Negara, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), YBrs. Encik Razman Abd Rani.

Selain itu, Encik Razman menjelaskan peranan penting PNM dalam usaha mengurus Nombor Buku Piawai Antarabangsa (ISBN) dan Nombor Siri Piawai Antarabangsa (ISSN) bagi penerbitan negara. Katanya, sistem ISBN yang disediakan secara percuma kepada penerbit Malaysia dapat membantu memastikan buku terbitan tempatan diiktiraf pada peringkat antarabangsa.

“Malaysia sebenarnya beruntung kerana penerbit memperoleh nombor ISBN secara percuma, sedangkan di sesetengah negara lain, penerbit perlu membayar ratusan dolar bagi setiap judul yang diterbitkan,” ujarnya.

Sementara itu, YBrs. Dr. Wan Khairoslinda pula menelusuri sejarah penubuhan PDM yang bermula sejak era Balai Pustaka pada tahun 1956 sebelum berkembang menjadi pusat dokumentasi khusus yang menyokong penyelidikan bahasa, sastera dan persuratan Melayu.

Beliau menjelaskan bahawa PDM berfungsi sebagai perpustakaan khusus yang mendokumentasikan segala bentuk bahan yang berkaitan dengan kegiatan DBP termasuklah buku, majalah, jurnal, foto, bahan audio visual, manuskrip serta pelbagai bahan arkib yang berkaitan dengan bahasa dan kesusasteraan Melayu.

Pustakawan Pusat Dokumentasi Melayu (PDM) DBP, YBrs. Dr. Wan Khairoslinda Wan Mohd Khairi.

“Walaupun PDM dilihat sebagai sebuah perpustakaan yang kecil, fungsinya sangat besar kerana kami menghimpunkan dan mendokumentasikan khazanah persuratan Melayu secara menyeluruh,” katanya.

Menurut beliau, antara keunikan PDM ialah koleksi manuskrip Melayu yang telah mendapat pengiktirafan antarabangsa menerusi Program Memori Dunia (Memory of the World) UNESCO, termasuklah manuskrip Sejarah Melayu MS 86, Kitab Tib dan Salasilah Negeri Kedah.

Beliau turut menjelaskan bahawa PDM turut aktif melaksanakan pelbagai program pengembangan ilmu seperti Baca Naskhah Klasik, wacana ilmiah, program etnosains, pertandingan membaca nyaring dan pelbagai aktiviti dalam talian bagi mendekatkan masyarakat dengan khazanah persuratan Melayu.

“Pustakawan hari ini tidak lagi hanya mengurus katalog dan rak buku. Mereka perlu tampil ke hadapan untuk berkongsi ilmu dan memperkenalkan khazanah yang tersimpan kepada masyarakat,” katanya.

Dalam sesi penutup, kedua-dua panel menegaskan bahawa pemeliharaan khazanah ilmu memerlukan sokongan seluruh masyarakat melalui budaya membaca, penggunaan bahasa Melayu serta kesedaran untuk mendokumentasikan hasil pemikiran dan karya bangsa.

Program tersebut turut mengajak masyarakat menghargai peranan perpustakaan sebagai pusat ilmu dan warisan negara, selaras dengan tema “Khazanah Kita, Tanggungjawab Kita” yang menekankan kepentingan memelihara sumber ilmu sebagai aset penting pembinaan tamadun bangsa.

Kredit Foto: Khairul Azhar
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi