Diterbitkan pada 4 Jun 2026, 12:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perpustakaan perlu terus berkembang sebagai pusat pengetahuan, ruang interaksi masyarakat dan medan dialog budaya bagi memastikan kemajuan teknologi tidak menghakis nilai kemanusiaan, kata Kepala Dinas Perpustakaan dan Kearsipan Provinsi DKI Jakarta, Dr. Nasruddin Djoko Surjono.

Beliau berkata dalam era kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) yang berkembang pesat, perpustakaan tidak lagi boleh dilihat sekadar sebagai tempat penyimpanan buku, sebaliknya perlu berfungsi sebagai ruang yang mempertemukan masa lalu, masa ini dan masa hadapan.

“Di perpustakaan, manuskrip lama dapat berdampingan dengan teknologi digital, sastera klasik dapat bertemu dengan AI dan pengetahuan tempatan dapat dipertemukan dengan jaringan ilmu global,” katanya ketika menyampaikan ucapan sambutan pada Simposium Antarabangsa Kepustakaan, Terjemahan dan Kecerdasan Buatan (LiTr.AI) 2026 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka, semalam.

Menurut beliau, pihaknya kini giat mentransformasikan Perpustakaan Jakarta sebagai ruang awam yang inklusif, terbuka dan mesra masyarakat melalui pelbagai program literasi, pengembangan koleksi digital serta kerjasama dengan komuniti kreatif.

Katanya, perpustakaan perlu menjadi ruang demokrasi ilmu yang boleh diakses oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa sastera memainkan peranan penting bagi membentuk peradaban kerana mampu mengajar empati, memperhalus budi dan memperluas imaginasi manusia.

“Teknologi membantu manusia bekerja lebih cepat, tetapi sastera membantu manusia menjadi manusia,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa Pusat Dokumentasi Sastera HB Jassin di Indonesia terus berperanan memelihara manuskrip, arkib sastera, surat-menyurat pengarang dan majalah sastera sebagai memori kebudayaan bangsa untuk generasi akan datang.

Nasruddin berkata, hubungan antara perpustakaan, sastera, penterjemahan dan AI perlu dilihat sebagai hubungan yang saling menguatkan, bukannya saling menggantikan.

Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama serantau dalam bidang kepustakaan, bahasa, sastera dan penterjemahan memandangkan negara Asia Tenggara berkongsi akar sejarah dan tradisi intelektual yang hampir sama.

Menurutnya, LiTr.AI 2026 yang menghimpunkan 22 pemakalah dari enam negara serta 240 peserta daripada pelbagai latar belakang mampu membuka ruang pertukaran idea dan pengalaman bagi membina ekosistem ilmu yang lebih kukuh.

“Forum seperti ini penting untuk melahirkan gagasan baharu tentang bagaimana kecerdasan buatan dapat dimanfaatkan secara bijaksana demi memperkukuh budaya membaca, ilmu pengetahuan dan kebudayaan,” katanya.

Kredit Foto: Syafiq Selamat
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi