Diterbitkan pada 19 Jun 2026, 12:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menerusi Arkib Negara Malaysia telah menganjurkan Program Mengenang Negarawan Tun Fuad Stephens bertemakan “Legasi Huguan Siou Membina Negara Bangsa” bersempena dengan Sambutan Minggu Perpaduan 2026 Peringkat Kebangsaan pada 15 Jun 2026 di Le Meridien Kota Kinabalu.

Program berkenaan dirasmikan oleh Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang sebagai usaha memelihara memori sejarah negara, serta menghargai jasa tokoh yang telah mencorakkan perjalanan pembinaan negara bangsa.

“Program itu turut mengimbau sejarah dan mengangkat sumbangan Allahyarham Tun Mohd Fuad Stephens yang diiktiraf sebagai arkitek perpaduan, pemimpin rakyat dan negarawan yang meletakkan asas penting terhadap pembentukan Malaysia yang bersatu dalam kepelbagaian,” katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan.

Menurut beliau, Tun Fuad Stephens sebagai Huguan Siou atau Pemimpin Agung bukan sahaja dihormati oleh masyarakat Kadazandusun, malah berperanan sebagai jambatan perpaduan yang menyatukan pelbagai kaum di Sabah serta menghubungkan negeri itu dengan Semenanjung Malaysia dan Sarawak.

Program Mengenang Negarawan Tun Fuad Stephens di Le Meridien Kota Kinabalu, Sabah.

Katanya, gelaran Huguan Siou melambangkan kepercayaan tinggi masyarakat terhadap kepimpinan beliau yang berteraskan integriti, keberanian dan keikhlasan untuk membina keharmonian tanpa mengira latar belakang kaum, budaya mahupun agama.

Tambah beliau, perjuangan Tun Fuad Stephens dalam pembentukan Malaysia, pembangunan Sabah dan penyatuan rakyat pelbagai kaum telah menjadi asas penting kepada proses pembinaan negara bangsa.

“Sumbangan beliau kekal sebagai legasi yang menegaskan bahawa kekuatan sesebuah negara lahir daripada perpaduan, sikap saling menghormati dan kesediaan untuk bersatu demi masa depan bersama,” ujarnya.

Beliau menggesa semua pihak agar terus menghayati dan meneruskan legasi Huguan Siou dalam kehidupan seharian supaya semangat perjuangan Tun Fuad Stephens terus subur dalam jiwa setiap rakyat Malaysia.

Beliau juga menyeru masyarakat untuk melawat Memorial Negarawan yang terletak di Jalan Dato’ Onn, Kuala Lumpur bagi mengenali dengan lebih dekat sejarah dan sumbangan tokoh berkenaan.

Katanya, memorial itu menempatkan pelbagai koleksi serta bahan pameran berkaitan Tun Fuad Stephens yang dapat dijadikan sumber rujukan dan inspirasi dalam menghayati nilai kepimpinan, ketokohan dan kewibawaan seorang wira negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi