Diterbitkan pada 3 Julai 2026, 18:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Ketua Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik, YBrs. Encik Abdul Ghani Abu muncul penerima Anugerah Legasi DBP 2026 pada majlis penyampaian anugerah bersempena dengan Malam Sekalung Seni DBP 2026 dan Anugerah Legasi DBP 2026 yang berlangsung di Balai Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), malam tadi.

Anugerah Legasi DBP merupakan pengiktirafan tertinggi kepada karyawan yang memberikan sumbangan besar kepada organisasi serta menjadi contoh dalam memperkukuh budaya kerja cemerlang dan semangat kebersamaan.

Pada majlis itu, Abdul Ghani turut meraih beberapa pengiktirafan lain, iaitu Anugerah Hang Nadim, Anugerah Hassan Ahmad, Anugerah Ungku Aziz dan Anugerah Abdullah Munshi, sekali gus menjadikan beliau antara penerima anugerah paling cemerlang pada malam berkenaan.

Anugerah Hang Nadim diberikan kepada karyawan yang telah berkhidmat lebih daripada 11 tahun, memiliki aura positif, menjadi suri teladan kepada warga organisasi, menunjukkan bakat besar dalam kerjaya serta mengutamakan semangat kerja berpasukan.

Beliau turut menerima Anugerah Hassan Ahmad yang mengiktiraf profesionalisme tinggi, pemikiran kreatif dan kritis dalam mencetuskan pembaharuan, selain kesediaan berkongsi ilmu dan pengalaman demi meningkatkan citra DBP.

Selain itu, beliau turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ungku Aziz, yang diberikan kepada karyawan yang sentiasa bersikap positif, menunjukkan komitmen tinggi terhadap tugas, aktif menyumbang di luar waktu pejabat serta sentiasa berkongsi idea baharu untuk kemajuan organisasi.

Beliau juga menerima Anugerah Abdullah Munshi, yang mengiktiraf ketua yang berupaya memimpin jabatan atau bahagian dengan cemerlang, mengutamakan kebajikan warga kerja serta sentiasa memberikan yang terbaik kepada organisasi.

Penerima Anugerah Permata DBP, YBrs. Encik Muhamad Izzat Mohd Ishak dari Pejabat Ketua Pengarah.

Sementara itu, YBrs. Encik Muhamad Izzat Mohd Ishak dari Pejabat Ketua Pengarah diumumkan sebagai penerima Anugerah Permata DBP, yang mengiktiraf karyawan berkhidmat kurang daripada 10 tahun yang menunjukkan dedikasi tinggi, bertanggungjawab serta aktif menjayakan pelbagai program organisasi.

Penerima Anugerah Teja, YBrs. Puan Maslinah Yusof dari Bahagian Pentadbiran Am.

YBrs. Puan Maslinah Yusof dari Bahagian Pentadbiran Am pula menerima Anugerah Teja, yang diberikan kepada karyawan yang berkhidmat dengan sepenuh hati, berjaya mengimbangi tugas hakiki dan tugasan tambahan serta memiliki karisma yang boleh dicontohi oleh warga kerja lain.

Penerima Anugerah Bayan Budiman, YBrs. Dr. Rosmani Omar.

Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar menerima Anugerah Bayan Budiman sebagai pengiktirafan terhadap penghasilan karya yang berjaya mengangkat nama diri, organisasi dan bidang persuratan melalui penulisan serta penerbitan.

Anugerah Seri Pinang yang mengiktiraf program terbaik dan berimpak tinggi tahun 2025 dimenangi oleh Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 yang dianjurkan oleh Bahagian Pemasaran dan Pengedaran DBP.

Bahagian Multimedia DBP pula menerima Anugerah Bitara atas kejayaan mewujudkan budaya kerja berpasukan yang cemerlang serta penghasilan kandungan media sosial DBP yang kreatif dan memberi impak kepada organisasi.

Semua anugerah bernilai RM100, manakala anugerah utama, iaitu Anugerah Legasi DBP bernilai RM200 yang disumbangkan oleh Badan Keluarga Dewan Bahasa dan Pustaka.

Penyampaian anugerah tersebut menjadi simbol penghargaan DBP terhadap komitmen, dedikasi dan kecemerlangan warganya dalam memperkukuh peranan organisasi sebagai peneraju bahasa, sastera dan persuratan Melayu di negara ini.

Kredit Foto: Syafiq Selamat
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi