Diterbitkan pada 12 Julai 2026, 20:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Peranan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) diangkat sebagai peranan teras penting dalam memacu pembangunan dan melestarikan peradaban serta tamadun bangsa dan negara.

Perkara itu disampaikan oleh Ahli Dewan Negara, YB Senator Datuk Seri Prof.Emeritus Dr. Awang Sariyan dalam majlis perasmian Hari Peradaban Bangsa Melayu 2026 yang berlangsung di Auditorium Muzium Negara, Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut ucapan perasmian YB Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan, banyak institusi utama negara sebenarnya bermula daripada gerak kerja badan bukan kerajaan, bukan ditubuhkan oleh kerajaan pada asal.

Beliau mengemukakan beberapa bukti nyata seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang bermula sebagai rumusan siri Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu 1952 di Singapura, 1954 di Seremban, serta di Johor Bahru dan Singapura) untuk menyediakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, ilmu, sains, dan ekonomi menjelang awal kemerdekaan.

Usaha NGO ini disambut baik oleh kerajaan dengan meletakkannya di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) pada 1956, sebelum beralih menjadi badan berkanun pada 1959,jelas beliau.

Sementara itu, universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah digagaskan oleh tokoh akademik seperti Almarhum Prof. Emeritus Datuk Zainal Abidin Wahid, Almarhum Prof. Emeritus Datuk Dr. Abu Bakar Hamid, dan Almarhum Prof. Syed Hussein Alatas serta Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang diperjuangkan oleh persatuan-persatuan seperti Persatuan Lepasan Timur Tengah, Persatuan Lepasan Kolej Islam Malaya, PKPIM, dan ABIM sebelum kerajaan bersetuju menubuhkannya pada tahun 1983.

Pada masa yang sama, Dr. Awang Sariyan turut menarik perhatian hadirin dengan menyatakan bahawa isu terhakisnya penghayatan warisan bukan sahaja melanda anak muda, malah golongan “mantan muda” juga ramai yang sudah lupa daratan.

Ujarnya, kepimpinan negara dan institusi harus terus dilibatkan, malah menganggap penghayatan ilmu tamadun ini menjadi ilmu fardu ain bagi golongan tertentu.

Program penghayatan ilmu ini perlu dirancakkan menerusi kemudahan teknologi seperti audiosiar (podcast) dan gerakan jerawara (roadshow) secara pesat.

Melalui pendekatan ini, bukti arkeologi seperti di Sungai Batu, Lembah Bujang serta kajian moden DNA dapat difahami bagi membuktikan kewujudan peradaban Melayu yang telah berusia puluhan ribu tahun, sekali gus menepis hipotesis songsang pihak tertentu yang menganggap status penduduk warga asal rantau ini sebagai pendatang, ujarnya lagi.

Ahli Dewan Negara, YB Senator Datuk Seri Prof.Emeritus Dr. Awang Sariyan semasa menyampaikan ucapan perasmian pada Hari Peradaban Bangsa Melayu 2026 .

Menyentuh aspek konsep, beliau memetik pemikiran Almarhum Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas mengenai transformasi akidah dan pandangan sarwa (worldview) yang dibawa oleh Islam, sehinggakan konsep Melayu itu berkembang daripada etnik kepada satu konsep peradaban yang menyatukan ratusan etnik di Alam Melayu melalui akidah Islam dan bahasa Melayu.

Surah Ar-Rum ayat 22 yang mengangkat kepelbagaian bahasa dan warna kulit sebagai simbol keagungan penciptaan-Nya. Setiap bangsa di dunia wajib mensyukuri nikmat bahasa sendiri, namun dalam masa yang sama tetap disantuni dengan keperluan menguasai bahasa asing sebagai satu tuntutan fitrah kehidupan, tambahnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Kebudayan dan Kesenian, Encik Mohd Amran Mohd Haris menzahirkan rasa kagum dan menyifatkan Sambutan Hari Peradaban Bangsa Melayu ini sebagai satu gagasan besar yang wajar diangkat ke peringkat kebangsaan pada masa hadapan.

Melayu bukan sekadar catatan sejarah yang tersimpan dalam manuskrip lama atau tinggalan artifak semata-mata, malah merupakan sebuah tamadun yang hidup, berkembang, dan terus membentuk cara berfikir, cara hidup, serta sistem nilai masyarakat sehingga ke hari ini,jelasnya.

Beliau menambah, kekuatan Alam Melayu dilihat sebagai pusat tamadun terdahulu yang lahir daripada sifat keterbukaan masyarakat menerima pengaruh luar secara bijaksana tanpa mengorbankan identiti asal.

Timbalan Ketua Pengarah Kebudayan dan Kesenian, Encik Mohd Amran Mohd Haris semasa menyampaikan kata alu-aluan.

Bagi mendepani dunia digital, Encik Mohd Amran Mohd Haris menegaskan bahawa Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) sentiasa komited melaksanakan pelbagai inisiatif merangkumi pendokumentasian, pemuliharaan, penyelidikan, dan pemanfaatan teknologi digital selaras dengan Dasar Kebudayaan Negara 2021 (DAKEN) demi memastikan budaya sentiasa menjadi pemacu penting kepada pembinaan identiti nasional.

Yang turut hadir dalam program tersebut ialah Pengerusi Gabungan Nasionalis, Tuan Haji Aminuddin Yahaya; Pengarah Utama, Tuan Haji Rashidi Haris; Pengarah Saintifik Geopark Geotourism, YBrs. Profesor Datuk Dr. Mukhtar Saidin.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi