Diterbitkan pada 11 Julai 2026, 12:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pesta Kuantan 188 bakal menjadi festival mega yang menggabungkan keunikan warisan budaya tempatan, sukan ekstrem dan hiburan bertaraf bintang yang diiktiraf sebagai antara acara gaya hidup dan sukan komuniti terbesar di Asia Tenggara.

Festival tahunan yang kali kelima diadakan ini merupakan anjuran Infiniti Indah Sdn. Bhd. (Kuantan 188), anak syarikat Trinidad Hospitality Sdn. Bhd. (Trinidad), merangkap cabang hospitaliti MAA Group Berhad, serta mendapat sokongan dan pengiktirafan penuh daripada Majlis Bandaraya Kuantan, Kerajaan Negeri Pahang, Tourism Pahang dan Kementerian Belia dan Sukan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Trinidad Hospitality, YBhg. Dato’ Sri Omar Naresh Mohan, mercu tanda ikonik, Menara 188 di Kuantan akan menjadi pentas utama bagi festival mega tersebut yang akan berlangsung dari 31 Julai hingga 2 Ogos 2026.

“Tebing Sungai Kuantan bakal menjadi tumpuan utama bagi acara Royal Pahang Dragon Boat Regatta, yang bakal menyaksikan saingan sengit pasukan elit 12 kru dalam empat kategori utama, iaitu Terbuka Pahang, Terbuka Pahang (Campur), Tertutup Pahang dan Pahang Inter-District,” katanya semasa sidang media di sini pada 8 Julai lalu.

Tambah beliau, suasana di darat dan di udara juga bakal digegarkan oleh Kuantan 188 Hot Air Balloon, Food Market yang menghimpunkan vendor tempatan, serta pertunjukan aksi 188 Drift Car yang mendebarkan Kuantan.

“Peminat sukan komuniti juga boleh menyertai kejohanan Resorts World Genting Pickleball Championship dan acara Kuantan 188 Street Football,” katanya.

Bersempena dengan sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, majlis makan malam Gala Dinner secara tertutup akan diadakan di Hotel Zenith, Kuantan pada malam pertama festival.

Yang menariknya, Pesta Kuantan 188  turut mengembalikan perlumbaan menaiki tangga menara yang amat mencabar, Kuantan 188 Towerthon Challenge + Oregeon yang menguji ketahanan fizikal para atlet menaiki 524 anak tangganya.

“Bagi peminat sukan ekstrem, Antenna Climb menawarkan pengalaman mendebarkan apabila peserta akan memanjat hingga puncak tertinggi struktur menara,” ujarnya.

Para peminat e-sukan boleh menyaksikan Kuantan 188 E-Battle yang menghimpunkan pemain PUBG Mobile terbaik di Asia Tenggara, manakala peminat dunia automobil boleh menyertai perhimpunan eksklusif Kuantan 188 Cars and Coffee.

Acara kemuncak Pesta Kuantan 188, iaitu Kuantan 188 Concert & Fireworks secara langsung akan menggegarkan pentas utama pada jam 8.30 malam, 1 Ogos 2026.

Tambah beliau, pengunjung yang ingin beriadah seawal pagi boleh menyertai Edutourism Xplore Fun Run Kuantan 188, selain pusingan akhir Kuantan 188 E-Battle, serta pencarian bakat baharu, Kuantan 188 Challenge: Ada Bran? x Astro, yang bakal menampilkan bakat baharu terbaik di rantau ini.

Penganjuran Pesta Kuantan 188 turut disokong oleh B Grimm Power Sdn. Bhd., Lynas Malaysia Sdn. Bhd., Resorts World Genting, Majlis Bandaraya Kuantan, JY Creative Development Sdn. Bhd., Tourism Malaysia, Tourism Pahang dan Petrosains.

Untuk maklumat lanjut, sila ikuti akaun Instagram (@kuantan.188), Facebook (@kuantan.188), dan TikTok (@kuantan 188) untuk perkembangan terkini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi