Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPontian – Sebuah perkampungan sastera yang menempatkan produk pelancongan perlu diwujudkan oleh kerajaan bagi memperkukuh ekonomi penulis.
Perkampungan tersebut bukan sahaja berperanan sebagai pusat kegiatan penulis, malah berpotensi menyemarakkan pelancongan sastera.
Sehubungan dengan itu, sebuah sekretariat khas perlu diwujudkan bagi memastikan Kampung Sastera dapat direalisasikan sebagai lokasi untuk penulis tempatan dan antarabangsa berkarya.
Pelancongan sastera telah lama wujud dalam dunia sastera, namun potensinya masih belum diperluas untuk memberikan manfaat yang lebih besar kepada penulis.
Konsep sastera pelancongan juga perlu dibincangkan agar dapat dijadikan asas kepada pelaksanaan program yang lebih jelas dan konkrit.
Demikian antara resolusi yang dicapai dalam Simposium Sastera Malaysia (SISMA) Ke-2 yang tamat pada hari ini.
Sebanyak 160 orang telah menyertai SISMA Ke-2 yang berlangsung pada 17 Julai hingga 18 Julai 2026 di Rumah Citra Sri Pinang, Benut, Pontian.
SISMA Ke-2 anjuran Persatuan Penulis Johor (PPJ) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Majlis Permuafakatan Penulis Malaysia (MPPM) dirasmikan oleh Ahli Penasihat Jumaah Majlis DiRaja Johor, Yang Berhormat (YB) Prof. Dato’ Dr. Kassim Thukiman.
Simposium tersebut turut mencadangkan agar Dewan Bahasa dan Pustaka bekerjasama dengan agensi pelancongan untuk mewujudkan sinergi dalam pelaksanaan program pelancongan yang berteraskan bahasa dan sastera.
Selain itu, organisasi penulis perlu menjalin kerjasama dengan institusi pelancongan bagi menggerakkan kegiatan sastera secara lebih aktif dan berkesan dalam industri pelancongan.
Persatuan penulis juga perlu berusaha memperkasakan ekonomi melalui pelaksanaan projek pelancongan yang disusuli dengan penerbitan buku secara komersial.
Resolusi tersebut diserahkan kepada Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan.
Turut hadir ialah Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS), YBrs. Dr. Syaidul Azam Kamarudin; Ahli Lembaga Penasihat Perpustakaan Negara Malaysia, YBhg. Datuk Jasni Matlani; Ketua Satu Persatuan Penulis Johor (PPJ), Tuan Haji Amiruddin M. Ali Hanafiah dan Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dan Presiden Lembaga Sastera Dayak, Encik Jaya Ramba.