Diterbitkan pada 26 Julai 2026, 21:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kredibiliti lakonan Yang Berbahagia (YBhg.) Datuk Rosyam Nor dan kejayaan filem Blood Brothers: Bara Naga yang mencatat kutipan pecah panggung meletakkan kedua-dua karya itu sebagai antara calon utama yang dijangka mencuri tumpuan pada Anugerah Telenovela Ke-11 (AT-11) yang dijadualkan berlangsung pada November ini.

YBhg. Datuk Rosyam Nor dilihat berpotensi membawa kejayaan kepada filem Memoir Seorang Guru dalam kategori Novel Filem Terbaik 2024, manakala filem Blood Brothers: Bara Naga pula dijangka menjadi antara pencabar utama bagi kategori Novel/Komik Filem Terbaik 2025 selepas meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM76 juta.

Filem Memoir Seorang Guru arahan Kyoll Hamzah yang diadaptasi daripada novel karya Allahyarham Azizi Haji Abdullah.

Memoir Seorang Guru arahan Kyoll Hamzah merupakan filem adaptasi daripada novel karya Allahyarham Azizi Abdullah, manakala Blood Brothers: Bara Naga diarahkan oleh Syafiq Yusof bersama-sama dengan Abhilash Chandra.

Anugerah berprestij anjuran Konsortium Ekonomi Jingga (KEJ) dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) dan Yayasan Teras Utama itu dijadualkan berlangsung di Auditorium P. Ramlee, Angkasapuri, Kota Media.

Pengarah Urusan KEJ, Yang Berusaha (YBrs.) Dr. Hasan Hamzah berkata, penganjuran AT-11 merangkumi penilaian terhadap karya yang disiarkan menerusi stesen televisyen tempatan serta platform penstriman digital atau over-the-top (OTT) sepanjang tempoh 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2025.

Menurut beliau, pengiktirafan tersebut mengambil kira perkembangan pesat industri kreatif yang menyaksikan semakin banyak karya sastera diadaptasi ke medium audiovisual, termasuklah penerbitan berskala kecil yang dihasilkan menggunakan teknologi mudah alih seperti telefon pintar.

YBrs. Dr. Hasan Hamzah (berdiri) semasa memberikan taklimat tentang Anugerah Telenovela Ke-11 di pejabat Konsortium Ekonomi Jingga yang dihadiri oleh beberapa orang rakan strategik.

“Penilaian tidak tertumpu pada kos penerbitan atau teknologi yang digunakan, sebaliknya kepada kreativiti, kekuatan penceritaan serta kualiti adaptasi daripada novel atau buku kepada karya audiovisual,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran AT-11 diharapkan dapat memperkukuh ekosistem industri buku dan kandungan kreatif negara, di samping menggalakkan penghasilan karya berkualiti tinggi yang mampu memberikan impak positif kepada masyarakat.

Bagi kategori Pelakon Telenovela Lelaki Terbaik pada edisi 2024 dan 2025, persaingan sengit dijangka melibatkan pelakon berpengalaman seperti Faizal Hussein, Shaheizy Sam, Zamarul Hisham, Zahiril Adzim dan Shukri Yahaya.

Kategori Pelakon Telenovela Wanita Terbaik pula menyaksikan persaingan antara pelakon berpengalaman seperti Aida Khalida, Liza Abdullah dan Fazlina Ahmad Daud dengan pelakon generasi baharu seperti Fasha Sandha, Zara Zya, Ummie Nazeera dan Sophia AlBarakbah.

Selain kategori pelakon, AT-11 turut mempertandingkan pelbagai kategori utama lain melibatkan karya adaptasi yang diterbitkan sepanjang tahun 2024 dan 2025. Antaranya termasuklah kategori penulis skrip, pengarah, drama popular dan stesen penyiaran terbaik.

Tambah YBrs. Dr. Hasan Hamzah lagi, AT-11 turut merintis kerjasama rentas sempadan bersama-sama dengan penerbit sinetron dari Indonesia sebagai usaha memperluas jaringan industri kreatif, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada penggiat industri buku, drama dan filem di kedua-dua buah negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi