Diterbitkan pada 20 Oktober 2023, 21:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Seminar Mini Kearifan Tempatan Sabah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) telah diadakan pada 19 Oktober 2023 di Dewan Wisma Wanita, JHEWA.

Pengarah JHEWA, Puan Hajah Haslina Ismail ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

“Wanita sebagai Ikon dalam Melestarikan Kearifan Tempatan Sabah” dipilih sebagai tema setelah mengambil kira peranan wanita yang amat besar dalam pembangunan negara. Malah terdapat juga dalam kalangan wanita tersebut yang wajar dijadikan ikon wanita unggul dalam melestarikan kearifan tempatan di negeri Sabah.

Seminar yang dikendalikan oleh Encik Mohd Farik Haji Madun, Munsyi DBP itu turut menampilkan tiga pembentang kertas kerja, iaitu YBrs. Prof. Madya Dr. Jurry Foo, Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar, Universiti Malaysia Sabah, YBrs. Dr. Hajah Siti Aidah binti Lukin@Lokin, Pensyarah Kanan, Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Malaysia Sabah, dan ikon wanita dalam melestarikan kearifan tempatan Sabah kali ini, ialah Puan Anne Antah, Pengarah Syarikat Chanteek Borneo Sdn. Bhd.

Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Aminah Awang Basar ketika meyampaikan ucapan penghargaan.

Menerusi ucapan Puan Hajah Haslina Ismail, Pengarah JHEWA dalam seminar tersebut, pelaksanaan program ini selaras dengan objektif JHEWA, iaitu meningkatkan penyertaan dan keterlibatan wanita dalam pembangunan negara melalui pelaksanaan dan penyelarasan program-program pembangunan yang selaras dengan Dasar Wanita Negara.

Antara objektif pelaksanaan seminar tersebut adalah untuk memperkenalkan kearifan tempatan kontemporari dari segi bahasa, sastera, seni dan budaya etnik di Sabah. Di samping untuk membangun, memperkasa, melahirkan wanita unggul dan sejahtera yang dapat dijadikan ikon dalam melestarikan kearifan tempatan di Sabah.

Pengarah Syarikat Chanteek Borneo Sdn. Bhd., Puan Anne Antah merupakan ikon wanita yang ditampilkan dalam seminar pada kali ini.

Program tersebut dilaksanakan selaras dengan objektif DBPCS yang antaranya memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan, memasyarakatkan sastera kebangsaan, memperkukuh penghayatan terhadap bahasa dan sastera kebangsaan, membina dan memperkaya korpus bahasa dan sastera; dan melaksanakan pelbagai program pengembangan, penyelidikan serta pembinaan bahasa dan sastera yang selari dengan perancangan Pelan Strategik DBP (2021 – 2025).

Seminar turut diserikan lagi dengan persembahan khas daripada dua karyawan DBPCS, iaitu Encik Rayner J. Francis dan Puan Hadine Yunus Gadong. Puan Hadine Yunus Gadong mendeklamasikan puisi yang berjudul “Sebagai Perempuan” karya Farzati yang diterbitkan dalam majalah Dewan Sastera pada April, 1999.

Prof. Madya Dr. Jurry Foo (dua dari kiri), Dr. Hajah Siti Aidah Lukin@Lokin dan Puan Anne Antah dalam sesi seminar yang dikendalikan oleh Encik Mohd Farik Haji Madun.

Sebanyak 280 orang peserta menhadiri seminar tersebut termasuklah penjawat awam, ahli NGO dan usahawan.

 

 

 

 

 

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi