Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKajang – Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyantuni komuniti penduduk setempat bersempena dengan lawatan Menteri Belia dan Sukan, Puan Hannah Yeoh ke Projek Transformasi Diraja di Kampung Nelayan Warna-warni, Seberang Ramai pada jumaat petang yang lalu.

Lawatan tersebut diadakan bersempena dengan program Jelajah Mesra Komuniti (JMK) anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang menyasarkan pelibatan komuniti melalui lawatan dan aktiviti kemasyarakatan.
Sebelum itu, keberangkatan tiba Tuanku Raja Puan Muda Perlis disambut oleh Puan Hannah Yeoh dan Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Belia, Jabatan Belia danSukan Negara, iaitu YBrs. Dr. Zainah Shariff.

Program dimulakan dengan taklimat oleh Ketua Bahagian Pengurusan Zakat MAIPs, Encik Syed Aisam Syed Idris Al-Habshe dan lawatan ke beberapa lokasi menarik di kampung berkenaan, seperti Laman Bunga Kertas, Laman Laksa, Jambatan Tuanku Syed Putra, Anjung Persinggahan Raja, Laman Bunga Raya dan Rumah Sihat.

Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen dan Puan Hannah Yeoh turut melaksanakan beberapa aktiviti bersama-sama masyarakat setempat seperti dekorasi Laksa Kuala Perlis, permainan tradisional Tok Jengkek, senam Tari Canggung dan mengacau dodol warisan tradisi.

Dalam ucapan beliau, Puan Hannah Yeoh menjunjung kasih dan menzahirkan kekaguman atas limpah perkenan Tuanku Raja Puan Muda Perlis berangkat menyantuni rakyat selain turut komited untuk mempromosikan aktiviti sukan dan pemerkasaan belia di kampung tersebut.
Pada masa yang sama, Puan Hannah Yeoh turut meluluskan sumbangan tambahan beberapa peralatan sukan dan kecergasan di kampung tersebut seperti set tiang gol, jaring dan kerusi kecergasan.
Sementara itu, Kampung Warna-warni merupakan perkampungan nelayan paling utara Malaysia yang telah menjalani program transformasi komuniti secara holistik, digerakkan oleh MAIPs dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta serta individu bermula pada tahun 2020.
Turut hadir, Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Perlis (ICU JPM), Puan Maznah Musa dan Ketua Bahagian Khidmat Pengurusan dan Keurusetiaan MAIPs, Puan Halina Abd Wahid.