Diterbitkan pada 23 Julai 2024, 16:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pameran Projek Arkib: Mustapa Hj. Ibrahim yang bermula 26 Jun 2024 hingga 21 Januari 2025 di Galeri Potret, Balai Seni Negara bertujuan menyebar kesedaran pentingnya pendokumentasian dalam kalangan seniman-seniman muda untuk membangunkan arkib mereka sendiri sebagai kepentingan nilai sejarah seni di masa hadapan.

Menurut Balai Seni Negara, pameran yang diadakan ini juga adalah bagi memperingati tokoh pelukis terkenal ini.

“Pameran ini menghimpunkan koleksi nadir Mustapa Hj. Ibrahim yang telah didaftarkan sebagai koleksi seni visual negara seperti fotografi hitam putih dan warna, manuskrip puisi, cetakan sutera saring, catan serta dua buah arca,” kata Balai Seni Negara dalam satu kenyataan.

Balai Seni Negara berkata, Mustapa Hj. Ibrahim dilahirkan pada tahun 1946 di Bagan Datuk, Perak dan meninggal dunia pada 28 Mac 2024 di Selangor merupakan tokoh pelukis yang menjadi penggerak kepada penubuhan kumpulan seniman yang digelar Anak Alam sekitar tahun 1970-an.

Antara koleksi seni karya Mustapa Hj. Ibrahim yang dipamerkan.

Tambahnya, Mustapa Hj. Ibrahim bukan sahaja seorang pelukis, malah beliau berbakat sebagai penyair, pelukis ilustrasi, pemain teater, pereka prop teater dan pemuzik alam (gendang dan bungkau).

Selain itu, beliau ialah pelaku gerak spontan yang kisah dan catatan senimannya perlu didokumentasikan dalam sebuah naskhah penerbitan seni visual negara.

“Pelibatan beliau dalam seni bermula apabila beliau mempelajari seni lukis dengan

mengikuti kelas lukisan yang dianjurkan Angkatan Pelukis Se-Malaysia (APS) di Studio Taman Budaya, Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada akhir 1960-an dan kemudiannya, beliau mula giat melukis secara serius melalui pelukis potret terkenal seperti Mohd Hoessein Enas dan Mazeli Mat Som,” katanya.

Menurut Balai Seni Negara, Mustapa Hj. Ibrahim ialah seorang seniman yang inovatif dan berdedikasi tinggi yang dapat dilihat menerusi hasil seninya, beliau sentiasa meneroka pelbagai pembaharuan dalam mengekspresikan diri dan karya seni sekali gus menjadikan karya tersebut bermakna serta berkesan.

Pameran Projek Arkib: Mustapa Hj. Ibrahim bermula 26 Jun 2024 hingga 21 Januari 2025 di Galeri Potret, Balai Seni Negara.

Katanya, terdahulu, karya seni beliau pernah dipamerkan di Balai Seni Negara menerusi Pameran Pemandangan Malaysia pada tahun 1972, Pameran Warisan Endau/Rompin pada 1985, Pameran Terbuka Balai Seni Lukis Negara pada tahun 1989 dan banyak lagi.

Tambahnya, Mustapa Hj. Ibrahim merupakan tokoh seniman yang harus dikenang oleh masyarakat.

Justeru, pengunjung dijemput hadir untuk melawat pameran Projek Arkib: Mustapa Hj. Ibrahim dan menghayati karya seni beliau di Galeri Potret, Balai Seni Negara bermula pada 26 Jun 2024 hingga 21 Januari 2025.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi