Diterbitkan pada 15 Ogos 2024, 16:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dianggap sebagai filem yang dinanti-nantikan pada tahun 2024, Takluk: Lahad Datu – Diinspirasikan daripada Kisah Benar (TLD) yang menceritakan semula kisah krisis pencerobohan Lahad Datu 11 tahun lalu, akan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 22 Ogos ini.

Diarahkan oleh Zulkarnain Azhar, penggambaran TLD yang bercorak aksi lasak dan patriotik ini dijalankan selama hampir dua bulan (46 hari) di Semporna dan Lahad Datu, Sabah, serta di sekitar Selangor.

TLD menampilkan barisan pelakon hebat dan terkenal seperti Syafiq Kyle, Kamal Adli, Rosdeen Suboh, Fikry Ibrahim, Anding Indrawani, Josiah Hogan, Hairi Safwan, Azizah Mahzan, Ezzaty Abdullah, Ayez Shaukat, Fad Anuar, Adam Corrie Lee, Mustaqim Bahadon, serta Zarul Umbrella, Jonathan Lee, dan Azizul Ammar.

Filem yang semestinya meraikan bulan kemerdekaan negara kita ini dijangka memberikan impak mendalam kepada penonton dengan kisah keberanian, dan semangat perjuangan yang ditonjolkan oleh wira-wira negara.

Krisis pencerobohan Lahad Datu tahun 2013 telah memberikan impak yang sangat besar kepada negara apabila 12 orang wira telah terkorban. TLD bukan sahaja mengangkat kisah benar yang menyentuh hati, tetapi juga memperingati keberanian para wira yang mempertahankan tanah air.

Filem Takluk: Lahad Datu – Diinspirasikan daripada Kisah Benar akan ditayangkan mulai 22 Ogos 2024

Aspek cerita TLD tidak boleh disangkal kerana diilhamkan daripada peristiwa Ops Daulat yang menggoncang negara pada 11 Februari 2013. Kejadian tersebut menyaksikan pencerobohan pengganas Sulu terhadap Kampung Tanduo di Lahad Datu, Sabah. Pada penghujung Ops Daulat, sejumlah 56 orang pengganas dilaporkan terbunuh bersama-sama enam orang awam.

Semasa sidang media selepas tayangan TLD di GSC Mid Valley pada petang 8 Ogos lalu, Zulkarnain menjelaskan filem arahannya ini hanya diilhamkan daripada kejadian tersebut. Beliau tidak mengkritik mana-mana pihak, sebaliknya mahu memaparkan semangat juang anggota keselamatan negara kita semasa menghadapi musuh.

Menariknya juga, TLD menampilkan tiga orang bintang veteran, iaitu pelakon Eman Manan dan Riezman Khuzaimi, serta pengarah/pelakon Nasir Jani.

Penampilan mereka terutama Eman dan Nasir, sensasi kerana masing-masing memegang watak antagonis atau pengganas Sulu, iaitu Raja Iskandar dan Raja Imran. Riezman pula berlakon sebagai protagonis, ketua pegawai polis.

Zulkarnain memberitahu Eman, 68 tahun, dipilih kerana menepati ciri pelakon yang “bermata tajam” untuk watak Raja Iskandar. Katanya, beliau mahu yang “bermata tajam” seperti Eman.

“Menjawab soalan siapa yang bermata sedemikian, sudah tentulah Eman sendiri, maka Eman yang paling sesuai,” jelas beliau yang turut menulis lakon layar TLD bersama-sama Peter Toyat.

Kali terakhir Eman muncul dalam filem adalah menerusi Rahsia (2023) yang bukan watak besar. Dalam jawapannya, Eman memberitahu beliau memang mahu membintangi filem yang mengangkat wira negara, walaupun tidak memegang watak berkenaan.

“Filem sebegini memang wajar dihasilkan, dan disokong sebagai menghargai jasa pengorbanan pasukan keselamatan negara kita,” katanya yang membawa watak Raja Iskandar dengan berkesan.

Nasir, 70 tahun, yang kali terakhir mengarah bersama filem Tombiruo: Penunggu Rimba (2017) pula memberitahu kemunculannya dalam TLD mengejutkan kerana beliau hanya bertanya kepada Zulkarnain secara gurauan apakah boleh tampil sebagai cameo sahaja dalam filem ini yang sedang dirancang.

“Saya tidak menyangka mendapat tawaran selepas perbualan dengan Zul di Pesta Buku Selangor tahun lalu itu. Dari cameo yang diminta, saya diberikan watak penting,” ujarnya walaupun itu dinafikan oleh Zulkarnain yang memang mahu Nasir memegang watak penting, tidak sekadar cameo.

Riezman, 54 tahun, pula bangga dengan watak SAC Datuk Mizan yang dilakonkannya, meskipun tidak juga mudah, dan mendebarkan kerana pegawai Polis Diraja Malaysia itu masih ada selepas bersara, dan kini ahli perniagaan.

“Saya bertemu dengan beliau dan pastinya memohon izin, serta restu untuk membawa watak ketua pegawai polis tanpa sebarang masalah,” ujar Riezman yang kali terakhir muncul sebagai cameo dalam filem Night Shift (2023).

Selain aspek patriotisme dan pelakon “legenda hidup”, TLD juga menarik kerana tersedia dalam format IMAX® dan Dolby Atmos di pawagam terpilih seluruh negara, dan merupakan filem tempatan kedua ditayangkan dalam IMAX®.

Berdurasi 120 minit, TLD dipersembahkan oleh PDRM, Multimedia Entertainment, Golden Screen Cinemas, Astro, dan Six Fun Media, dengan GSC Movies bertanggungjawab sebagai pengedar.

Turut menghadiri sidang media termasuklah Syafiq, Kamal, Fikry, Anding, Ayez, Fad, dan Mustaqim, serta Datuk Steven Lim, YK Tung, Agnes Rozario, dan KC Hoe sebagai Penerbit Eksekutif, bersama-sama Datin Vince Chin, Esther Hau, dan Tan Lee Kock (Penerbit Eksekutif Bersama).

Selain itu Cik Queenie Goh, Ketua Pegawai Pemasaran, CUCKOO; Encik Nick Chin, Timbalan Pengurus Besar, CUCKOO, dan Encik Wong See Wei, Pengarah Urusan ArtiqAir hadir sebagai wakil penaja filem.

Semua pelakon yang hadir menyatakan kegembiraan dan kepuasan mereka membintangi TLD, kerana tidak menghadapi masalah di sepanjang penggambaran, sebaliknya mendapat layanan baik daripada kru produksi.

Syafiq memegang watak DSP Zambri, sementara Kamal pula sebagai DSP Jai. Anding melakonkan watak DSP Maznan, dan Fikry sebagai Inspektor Saiful. Fad memegang watak Inspektor Alwi, Mustaqim sebagai DSP Edi, dan Hairi melakonkan watak Koperal Rafi. Pelakon bukan Melayu, Jonathan sebagai Inspektor Steven.

Rosdeen memegang watak Mat Zin, orang kanan Raja Iskandar. Siraj AlSagoff sebagai Inspektor Ravi, sementara Ayez pula sebagai Samat, seorang daripada pengganas Sulu.

Azizah, 60 tahun, memegang watak Zainab, ibu kepada Saiful. Pelakon muda Yuna Rahim sebagai isteri Zambri, dan Ezzaty Abdullah pula isteri Maznan.

Aksi lasak TLD diarahkan oleh Frank See. Tan Teck Zee bertindak sebagai Pengarah Fotografi, sementara seni diarahkan oleh Nazrul Asraff Mahzan. Suntingan TLD dilakukan oleh Tan Wei Hong, dan Penyelia Audio adalah Raja Ahmad Shaidaley.

Kesan solek khas TLD, iaitu antara perkara penting, ditata oleh Ella Sandera, bersama-sama Nasirah Ramlan sebagai pereka imej.

Ken Hor menata penataan muzik, sementara Mohd. Zaki Mohd. Sohut sebagai penerbit penyelaras, dengan Laili Noordin ialah penerbit bersama. Steven juga merupakan penerbit bersama-sama Keoh Chee Ang.

Dalam ucapannya, antara lain Datuk Steven berharap TLD mendapat sambutan hangat, selain berjaya membangkitkan semangat patriotik kepada rakyat Malaysia.

Bersempena dengan Bulan Kemerdekaan, beliau turut mengumumkan pelancaran promosi Merdeka oleh GSC dengan tawaran tiket tayangan awal bernilai RM750,000 untuk filem ini.

“Tayangan awal bermula dari 16 Ogos hingga 18 Ogos di semua lokasi di seluruh negara. Kempen eksklusif beli 1 percuma 1 ini boleh didapati dengan pembelian melalui laman sesawang, dan juga aplikasi mudah alih, selagi stok masih ada!

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi