Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMelaka – Sebanyak 922.5 tan sisa kitar semula berjaya dikumpulkan menerusi program Trash To Cash oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Melaka setakat Jun tahun ini membabitkan nilai pembayaran RM177,508.73 kepada rakyat negeri ini yang mengamalkan budaya kitar semula.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Rais Yasin berkata, sepanjang tahun lalu, pihak SWCorp mencatatkan kutipan sebanyak 1,598 tan bersamaan jumlah RM354,798 yang dipulangkan kepada masyarakat menerusi 957 program yang diadakan.
Menurutnya,semua kutipan yang direkodkan itu adalah jumlah sisa buangan yang berjaya dilencongkan dari tapak pelupusan dengan kerjasama SWCorp bersama pelbagai agensi seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi (IPT), sekolah, komuniti dan industri.
“Program Trash To Cash itu sinonim dengan program Anda Kitar Kami Bayar, Asal Barang Jadi Duit, Singgit Seposen dengan menggunakan konsep yang sama,” katanya pada Karnival Kitar Semula Mega Trash To Cash 2024, di Dataran Graha Makmur, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), di sini, baru-baru ini.
Hadir sama, Pengerusi SWCorp Malaysia, Hee Loy Sian; Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman; Pengarah SWCorp Melaka, Nor Zaki Md Nor dan lain-lain kenamaan.
Menurut Rais, terdapat sembilan buah lokasi pusat pandu lalu kitar semula yang telah dibuka di Melaka untuk memudahkan rakyat di negeri ini dan dua lagi akan diwujudkan di Merlimau Point dan Padang Kemunting, Masjid Tanah tidak lama lagi.
“Sehingga Jun 2024, sebanyak 69 tan sisa kitar semula telah berjaya dikutip melalui program pandu lalu ini,” katanya.