Diterbitkan pada 12 Ogos 2024, 16:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Balai Seni Negara mengumumkan artis inovatif dan pemenang Anugerah Utama Pertandingan Bakat Muda Sezaman 2023 (BMS23), Zulkefli Jais, akan mewakili Malaysia ke Gwangju Biennale 2024.

Menurut Balai Seni Negara, acara seni visual kontemporari berprestij ini akan diadakan di Gwangju, Korea Selatan bermula pada 7 September hingga 1 Disember 2024.

“Pemilihan artis muda kelahiran Teluk Intan, Perak ini ke Gwangju Biennale 2024 menandakan satu pencapaian penting bagi artis muda tempatan dalam meraih pengiktirafan global,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, menerusi karya bertemakan “Seni di Lokasi”, hasil seni beliau dilihat mampu untuk mempamerkan perkembangan seni kontemporari di Malaysia.

Project Temporary Marking karya Zulkefli Jais.

Katanya, Zulkefli Jais akan mempamerkan karya “Project Temporary Marking”, yang terdahulu dipamerkan di Menara Condong,Teluk Intan, Perak.

“Karya ini memaparkan pertindihan antara aspek geografi dan sejarah bandar serta turut dikaitkan dengan memorinya sebagai anak jati bandar Teluk Intan, Perak sementara bentuk monumen yang dihasilkan adalah daripada gantungan jaket melambangkan Menara Condong sebagai mercu tanda bandar berkenaan,” maklum Balai Seni Negara.

Tambahnya, gabungan jaket mewakili perasaan dan ingatan terhadap bencana yang menimpa pelarian yang berlindung di bandar itu dan ia turut dijadikan sebagai peringatan bahawa setiap sejarah pasti akan berulang.

Yang menariknya, karya ini akan dipamerkan bersama tayangan dokumentari pendek berdurasi 6 minit 2 saat yang akan dipaparkan secara berulang sepanjang pameran berlangsung.

Katanya, dokumentari ini akan mendedahkan sejarah gelap sekitar Menara Condong, dengan bunyi loceng untuk memberikan gambaran serta penghayatan terhadap karya berkenaan selain loceng tersebut akan berbunyi setiap jam, mengikut waktu Malaysia (MYT).

Balai Seni Negara turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada dua kurator yang mewakili pihaknya, iaitu Erry Arham Azmi dan Syahrul Niza Ahmad Zaini atas komitmen mereka dalam memastikan pameran ini berjalan lancar.

Balai Seni Negara sentiasa komited dalam memberikan sokongan kepada artis-artis tempatan dan kejayaan Zulkefli Jais dalam mengangkat karyanya ke pentas antarabangsa dilihat mampu menjadi pemangkin kepada peningkatan perkembangan seni kontemporari di Malaysia, selain turut mempromosi sejarah dan keunikan budaya ke peringkat global.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi