Diterbitkan pada 21 Ogos 2024, 16:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Hulu Kelang – Malam Anugerah Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) akan berlangsung pada 7 Disember 2024 di Auditorium Seri Angkasa, Kota Media dengan tema “Evolusi Sinema Malaysia (Emas)”, yang melambangkan evolusi, dan kejayaan sinema Malaysia serta menyoroti perkembangan, dan pencapaiannya dari dahulu hingga kini.

Acara ini akan bermula dengan Karpet Merah pada pukul 8.00 malam, diikuti siaran langsung majlis anugerah dari pukul 9.00 malam hingga 12.00 malam. Radio Televisyen Malaysia (RTM) sekali lagi menjadi rakan strategik, serta penyiar rasmi bagi acara ini.

“Emas” juga mencerminkan hala tuju baharu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dalam menghasilkan kandungan yang berkualiti untuk dieksport, menjadikan industri filem sebagai nadi ekonomi kreatif, dan budaya negara.

Dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi menerusi FINAS, FFM33 merupakan inisiatif pihak kerajaan membangunkan platform festival filem nasional yang berprestij untuk mengiktiraf, dan meraikan kecemerlangan penggiat industri filem tanah air.

FFM33 bertujuan mengukuhkan jaringan dan kerjasama strategik antara kerajaan dengan pihak industri menerusi pelaksanaan pelbagai program yang mengangkat profesionalisme para penggiat industri filem tanah air.

FFM33 juga merupakan manifestasi pada usaha pembudayaan sinema kepada masyarakat menerusi karya-karya berkualiti, yang seterusnya mewujudkan sistem sokongan kepada pemerkasaan industri.

Program yang dilaksanakan melalui FFM33 diharapkan dapat mengangkat profesionalisme penggiat industri filem tempatan, dan menyumbang kepada usaha pembudayaan sinema dalam masyarakat melalui karya-karya berkualiti.

Ini sekali gus mewujudkan sistem sokongan yang mantap untuk memperkasakan industri filem Malaysia.

Radio Televisyen Malaysia (RTM) sekali lagi dipilih sebagai rakan strategik serta penyiar rasmi malam anugerah berkenaan.

Bertempat di FINAS pada 20 Ogos lalu, YB Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Komunikasi, mengumumkan pembukaan penyertaan untuk FFM33 bermula dari 20 Ogos hingga 6 September 2024.

FINAS turut mengalu-alukan kerjasama dan peluang penajaan daripada pelabur, penaja, syarikat produksi, syarikat korporat, syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco), serta lain-lain untuk menjadi sebahagian daripada festival berprestij ini.

Turut hadir, YBrs. Encik Nik Kamaruzaman Nik Husin, Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi; YBhg. Dato’ Kamil Othman, Pengerusi FINAS; YBhg. Dato’ Azmir Saifuddin Mutalib, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, dan ahli-ahli perbadanan FINAS.

FFM33 akan mempertandingkan 30 kategori anugerah, dan turut mengembalikan semula kategori Anugerah Filem Dokumentari Terbaik.

Anugerah-anugerah tersebut ialah Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Pelakon Kanak-Kanak Terbaik, Pengarah Harapan, Pelakon Lelaki Harapan, Pelakon Wanita Harapan, Cerita Asal Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Sinematografi Terbaik, Penyunting Terbaik, dan Penataan Bunyi Terbaik.

Selain itu, Penataan Seni Terbaik, Kesan Khas Visual Terbaik, Skor Muzik Terbaik, Lagu Tema Terbaik, Tatarias/Solekan Terbaik, Rekaan Kostum/Busana Terbaik, Poster Terbaik, Filem Pendek Terbaik, Dokumentari Terbaik, Anugerah Khas Karyawan, Anugerah Khas Sepanjang Zaman, Anugerah Khas Juri 1, Anugerah Khas Juri 2, Anugerah Khas Juri 3, dan Anugerah Khas Filem Box Office.

Dengan senarai kategori yang pelbagai ini, FFM33 dijangka akan menjadi satu lagi platform penting untuk mengangkat nama dan karya penggiat filem tempatan ke peringkat yang lebih tinggi, sekali gus memperkukuh kedudukan industri filem Malaysia di arena antarabangsa.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi