Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMelaka – 50 orang peserta menyertai Bengkel Seni Sulaman Manik anjuran Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) di Rumah Belanda, Jalan Kota, Banda Hilir baru-baru ini.
Program hasil kerjasama dengan Persatuan Peranakan Cina Melaka itu telah mendapat sentuhan Puan Loreen Tan dan Puan Leena Khoo selaku ketua pengajar bersama kira-kira tujuh orang ahli persatuan tersebut.
Menurut Puan Loreen Tan, seni sulaman manik merupakan satu kesenian yang menarik yang jarang dipelajari terutama oleh generasi muda hari ini.

“Menerusi bengkel ini, peserta diberikan bimbingan seperti mengetahui jenis-jenis manik yang sesuai dan menarik untuk membuat hiasan sulaman seperti pakaian dan beberapa item lain termasuklah kasut.
“Dalam mencorakkan jahitan manik, sebenarnya memerlukan kreativiti seseorang penyulam untuk menggabung serta mencorakkan manik berdasarkan bentuk, saiz dan warna.

“Peserta juga diberikan bimbingan seperti teknik asas menjahit manik mengikut tradisi Baba Nyonya serta menjahit manik mengikut corak geometrik yang diberikan, iaitu corak untuk muka kasut dengan penekanan utama kepada teknik menjahit yang betul,”katanya.
Puan Loreen Tan berkata, bengkel itu juga dapat memperkenalkan kesenian manik yang merupakan satu daripada warisan Baba Nyonya yang begitu halus dan abadi.
Majlis perasmian bengkel tersebut disempurnakan oleh Encik Faiz Mohd Baharom, Kurator Bahagian Pembangunan PERZIM dan turut dihadiri Setiausaha Persatuan Peranakan Cina Melaka, Puan Chin Siok Hoon.

Menurut Encik Faiz, bengkel yang diadakan adalah bersempena dengan sambutan bulan Perisytiharan Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan merupakan satu daripada usaha pihak Perzim mengekalkan dan memperkukuh warisan seni dan budaya tidak ketara.
“Bengkel ini bukan sahaja bertujuan untuk mempelajari teknik-teknik asas seni sulaman manik tetapi juga untuk menyemai minat dan memupuk rasa kasih terhadap warisan seni ini dalam kalangan peserta,” katanya