Diterbitkan pada 19 Ogos 2024, 09:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ketibaan kami di Pondok Sela Anak Ayam, Narathiwat pada Julai lalu disambut oleh dua orang ustazah yang bertugas. Seorang daripada ustazah tersebut ialah Puan Hamidah Rasak yang merupakan isteri kepada mudir pondok, iaitu Ustaz Muhammad Lutfi Ahmad. Menurut Puan Hamidah Rasak, Ustaz Lutfi tiada ketika itu kerana beliau mempunyai urusan di Pahang. Juga semacam menyambut kami ialah serangkap pantun yang tertera di dinding yang dihiasi lukisan dua kuntum bunga raya berwarna putih:

Elok kayu bertangkai lebat,

Tangkai lebat banyaknya bunga;

Elok Melayu memakai adat,

Membangun umat dengan akhlak yang mulia.

Rombongan Liga Penulis Kelantan (LPK) yang diketuai oleh Mohd Dahri Zakaria dalam Program Ziarah Budaya ke Patani itu disertai oleh Rosli K. Matari, Abdul Hadi Yusoff, Zuharman Mohamad Nor, Nimoiz T.Y, Nik Mohd Hafiz, Kriey Alias, Adly Izmal Karim dan penulis ini melakukan kembara tiga hari dua malam di tiga wilayah selatan Thailand dengan tajaan penuh LPK.

Kami dibawa berkelana ke tempat-tempat bersejarah sambil mengadakan pertemuan dengan beberapa orang penulis Patani menggunakan van Toyota Hiace yang mempunyai sebelas tempat duduk untuk penumpang.

Setelah kenderaan kami tiba di jalan masuk ke pondok ini, tersergam sebuah bangunan cantik yang penulis ingat sudah dalam proses pembinaan ketika kunjungan kali pertama pada bulan Februari tahun 2020. Penulis fikir, kunjungan kali ini sudah tentu akan dapat menjejakkan kaki di bangunan baharu Muzium al-Quran.

Namun sayangnya, bangunan tersebut masih belum boleh digunakan. Naskhah-naskhah nadir dan himpunan manuskrip masih ditempatkan di bangunan lama, tempat sama yang penulis kunjungi sebelum ini, terletak di bahagian belakang pondok dan perlu masuk agak ke dalam sedikit.

Kunjungan kami ke pondok yang dikenali sebagai Madrasah Al-Ahmadiyah Al-Islamiyah yang turut menempatkan Muzium al-Quran itu bertujuan untuk melihat koleksi naskhah nadir dan kitab tua yang ada. Kitab tua yang dimaksudkan termasuklah koleksi manuskrip al-Quran yang dikumpulkan dari banyak tempat di Nusantara, termasuklah beberapa bahagian lain di dunia seperti Yaman, Mesir dan Andalus.

Selain al-Quran, turut menjadi koleksi pondok terbabit ialah manuskrip kitab yang ditulis dengan menggunakan bahasa Melayu lama dalam pelbagai bidang seperti kesusasteraan, pertahanan diri, pelayaran, sejarah, tajwid, teknologi kejuruteraan, pengajian Islam, sains, falsafah, bahasa, manusia, ramalan, perubatan, astronomi dan matematik.

Di Muzium al-Quran, selain kitab-kitab yang paling banyak disimpan di situ ialah manuskrip al-Quran milik beberapa ulama besar Kelantan pada abad lalu. Antaranya ialah koleksi al-Quran lama tulisan tangan milik Haji Abdul Samad (Tok Pulai Chondong) dari abad ke-19, iaitu tahun 1850 Masihi. Selain itu terdapat al-Quran kepunyaan Almarhum Tok Kenali yang selesai ditulis pada bulan Safar tahun 1286 Hijrah.

Turut dipamerkan di situ ialah manuskrip perihal cara membuat senjata keris dan rahsianya; manuskrip tulang mawas sebagai bahan campuran dalam besi keris untuk menjadi bisa dan manuskrip Panduan Ramalan Medan Peperangan berupa tulisan satu halaman berserta ilustrasi di atas sehelai kertas yang sudah bergerigis di bahagian tepinya.

Menarik sekali isi manuskrip satu muka surat ini untuk dikongsi, diperturunkan seperti yang berikut:

“Jika datang di balung perang kita menang tapi banyak orang luka. Jika datang di belakang perang kita menang maka sejahtera dari semua bahaya. Jika datang di ekoran perang kita menang tapi luka. Jika datang di pusat perang kita menang tapi banyak orang mati. Jika datang di perutnya perang kita menang tapi orang luka banyak. Jika datang di leher perang kita lari kucar-kacir habis mati. Jika datang di mulut perang kita lari.”

Panduan di medan perang tersebut ditulis pada beberapa bahagian badan seekor ayam jantan berkepala dua bertubuh naga yang diwarnakan dengan warna merah dan hitam. Warna tersebut tentu sahaja digunakan untuk melambangkan sifat kepahlawanan dan keberanian. Merah diwarnakan di bahagian kepala dan sisik di bahagian atas tubuh. Manakala hitam pula diwarnakan di bahagian badan.

Penulis (dua dari kanan), bersama-sama rombongan Liga Penulis Kelantan dalam lawatan ke Pondok Sela Anak Ayam.

Gambar kepala ayam dengan bulunya yang kembang berwarna merah itu tentu sahaja memperlihatkan kepada kita bahawa ayam itu sedang berlaga atau bertarung melawan musuhnya. Ilustrasi kepala ayam tersebut mengingatkan kita kepada satu lukisan seniman terkenal Indonesia, Affandi bertajuk Ayam Petarung.

Gambar kepala ayam yang kembang bulunya di manuskrip yang ada disimpan di Pondok Sela Anak Ayam ini sama dengan kepala ayam yang sedang bertarung yang dilukis Affandi. Persamaan yang ada pada kedua-dua lukisan kepala ayam tersebut ialah melambangkan “pertarungan”, “perlawanan” atau “peperangan”.

Petunjuk arah juga ada dilukis di bahagian atas sebelah kiri manuskrip ringkas ini berupa empat arah iaitu “selatan” di bahagian atas, “utara” di bahagian bawah, “maghrib barat” di bahagian kanan dan “masyrik” di bahagian kiri.

Tatkala petang sudah agak sedikit redup, ketika seorang anak lelaki sedang bermain basikal di halaman – kami tinggalkan Muzium al-Quran untuk bergerak pulang ke sempadan di Sungai Golok, dengan wajah masing-masing sudah seperti lesu kepenatan.

Maklum sahaja telah seharian bergelandangan dan mengadakan lawatan. Kitab-kitab tua yang tersimpan di dalam kotak-kotak cermin di sana pastinya akan menggamit kami untuk mengunjunginya semula pada masa akan datang.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi