Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Majlis Penutupan Program Semarak Jiwa Merdeka 2024 Peringkat Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah berlangsung di Dewan Kristal, KPKT pada pagi tadi.
Sepanjang bulan Ogos ini, KPKT telah melaksanakan pelbagai program kemerdekaan termasuklah Program Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Majlis penutupan tersebut disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Persekitaran Mampan) KPKT, YBhg. Datuk Saidatu Akhma Hassan.
Selain menyuntik semangat kemerdekaan, YBhg. Datuk Saidatu Akhma Hassan menerusi ucapannya menegaskan akan kepentingan penggunaan bahasa Melayu yang betul pada peringkat KPKT dan hal tersebut merupakan tanggungjawab bersama.
Beliau menyeru warga KPKT agar membudayakan penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam setiap program yang dianjurkan.
Selaras dengan tema Hari Kebangsaan pada tahun ini, iaitu “Malaysia Madani: Jiwa Merdeka”, YBhg. Datuk Saidatu Akhma Hassan juga berharap agar semangat patriotik dapat sentiasa disuburkan.

Bulan kemerdekaan menurut beliau merupakan detik bermakna yang memberikan nostalgia selain membangkitkan rasa syukur dan cinta akan negara.
Terdahulu, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan dalam usaha menyemarakkan semangat kemerdekaan. Antaranya termasuklah Pertandingan Karya Merdeka, Eksplorasi Merdeka, dan pertandingan fotografi dan lain-lain.
YBhg. Datuk Saidatu Akhma Hassan diiringi Timbalan Ketua Pengarah Dasar DBP, Tuan Haji Md. Johari Hasan; Ketua Editor Bahagian Buku Sekolah DBP, Encik Ruslan Abdull Raffar dan Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan KPKT, Puan Rasidah Ibrahim kemudiannya menyampaikan hadiah dan sijil kepada para pemenang pertandingan yang dianjurkan sepanjang Program Semarak Jiwa Merdeka.